Riyadh: Arab Saudi akan kembali mengeluarkan visa umrah bermula hari ini, sekali gus membuka semula pintu bagi ketibaan jemaah antarabangsa ke kota suci Makkah dan Madinah.
Gulf News melaporkan pengeluaran semula visa umrah itu hanya beberapa hari selepas tamatnya musim haji kali ini yang disifatkan antara paling selamat dan teratur pernah diadakan.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan permulaan musim baharu umrah, dengan kumpulan pertama jemaah luar negara dijangka tiba pada esok, Rabu 11 Jun.
Berdasarkan kalendar rasmi kementerian, pengeluaran visa umrah akan bermula pada 10 Jun bersamaan 14 Zulhijjah 1446H.
Syarikat pengendali umrah serta ejen antarabangsa juga sudah diminta supaya segera melengkapkan kontrak perkhidmatan mereka selewat-lewatnya 27 Mei lalu (29 Zulkaedah 1446H).
Langkah ini diambil sejurus selepas kejayaan penganjuran musim haji yang mencatat kehadiran lebih 1.6 juta jemaah dari seluruh dunia.
Berbeza dengan haji yang hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu setiap tahun, ibadah umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun.
Musim umrah yang baharu ini akan berlangsung sehingga tahun 2026 (1447H).
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dijangka mengeluarkan maklumat lanjut dalam beberapa bulan akan datang, termasuk kuota jemaah, garis panduan perjalanan dan protokol kesihatan terkini.
Arab Saudi lazimnya menghentikan pengeluaran visa umrah beberapa minggu sebelum musim haji bagi memberi laluan kepada persiapan penuh dari segi logistik, keselamatan dan kesihatan, memandangkan jumlah kehadiran jemaah haji adalah lebih besar dalam tempoh masa yang singkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




