RIYADH: Arab Saudi menafikan negara itu terbabit dalam krisis dalaman Jordan, namun penahanan Bassem Awadallah yang juga penasihat Putera Mahkota, Putera Muhammad Salman menimbulkan kegelisahan Riyadh.
Bassem yang juga tokoh berpengaruh dan sinonim dengan cara kerja kepemimpinan Arab Saudi, terjerat dalam krisis keluarga diraja Jordan.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai ketua istana bekas wakil khas ke Arab Saudi adalah antara 16 orang yang ditangkap dikaitkan terbabit dengan rancangan menggugat kestabilan Jordan.
“Bukan hanya Menteri Luar Arab Saudi cuba membebaskan Bassem, Pengarah Perisikan dan Ketua Kakitangan Putera Muhammad Salman turut pergi ke Amman,” kata bekas pegawai CIA yang kini berkhidmat dengan Brookings Institution.
Riyadh menyuarakan sokongan terhadap Raja Abdullah II, yang dilihat cuba mengurangkan perhatian dunia terhadap perselisihan dengan adik tirinya, Putera Hamzah Hussein apabila stesen televisyen memaparkan kedua-duanya muncul bersama buat kali pertama selepas tercetusnya konflik berkenaan.
Dalam pada itu, pegawai Arab Saudi menolak spekulasi di sebalik perpecahan itu dan menegaskan pertikaian seperti itu dapat menimbulkan kesan berbahaya bagi monarki lain di wilayah bergolak.
Spekulasi mengenai krisis itu hangat diperkatakan berikutan Jordan mendakwa terdapat campur tangan asing dengan pemerhati mengesyaki Riyadh sebagai dalang di sebalik pergeseran itu.
Ia mungkin menimbulkan konflik terhadap hubungan Arab Saudi dan Israel serta dijangka memberi kesan kepada Jordan yang menjadi tempat tinggal majoriti penduduk Palestin selain isu menyentuh kedudukan Baitulmaqdis termasuk Masjid al-Aqsa.
Terdahulu, krisis di Jordan berlaku selepas Hamzah berkata beliau kini ditahan di rumah dan tidak dibenarkan berkomunikasi atau bertemu sesiapa pun. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




