Arab Saudi rasmi pembukaan pulau mewah NEOM, Sindalah

Arab Saudi rasmi pembukaan pulau mewah NEOM, Sindalah

Sindalah, projek pertama di NEOM, Arab Saudi yang sudah siap sepenuhnya telah dibuka secara rasmi pada 27 Oktober 2024. (FOTO: SPA)

– Advertisement –

RIYADH: Pihak pengurusan projek mega NEOM, kota mega futuristik Arab Saudi pada Ahad mengumumkan pembukaan rasmi Sindalah, sebuah pulau mewah di Laut Merah yang menampilkan restoran, hotel dan tempat pelayaran kapal bertaraf antarabangsa.

NEOM menyifatkan Sindalah sebagai ‘pameran fizikal pertamanya’ yang ‘akan berfungsi sebagai pintu masuk NEOM ke Laut Merah’, menyediakan akses mudah untuk pemilik kapal layar Eropah, Saudi dan Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC).

Ketua Pegawai Eksekutif NEOM, Nadhmi al-Nasr dalam satu kenyataan berkata, NEOM komited untuk menyokong era baharu pelancongan mewah Kerajaan Arab Saudi, dengan pembukaan Sindalah.

– Advertisement –

“Destinasi sulung NEOM ini menawarkan pengunjung ‘pandangan pertama’ tentang masa depan untuk portfolio destinasi dan pembangunan kami yang luas melalui keseluruhan projek mega NEOM.

“Sindalah dibina meliputi  lebih 840,000 meter persegi (200 ekar) dan akan ditetapkan untuk menerima ‘sehingga 2,400 tetamu sehari menjelang 2028’,” kata kenyataan itu.

Peta menunjukkan kawasan projek mega Arab Saudi, NEOM yang menempatkan Sindalah, The Line, Oxagon dan Trojena. (FOTO: Alamy)

Pertama kali diumumkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman pada Disember 2022, NEOM berkata, pembukaan Sindalah secara rasmi menandakan peristiwa penting dalam kemajuan projek berkenaan.

“Gelombang pertama tetamu jemputan telah dialu-alukan ke Sindalah untuk mengalami ‘daya tarikan pulau mewah ini,” kata kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Tambah kenyataan itu, NEOM menyatakan bahawa ‘mengubah Sindalah daripada idea kepada realiti’ adalah hasil daripada usaha dan kerja yang meluas selama dua tahun.

Pembinaan The Line sejauh 170 kilometer merupakan sebahagian daripada projek bandar raya futuristik, NEOM di Arab Saudi. (FOTO Neom.com)

“Ia menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan cita-cita pelancongan Kerajaan di bawah Wawasan Saudi 2030 dan mengesahkan keupayaan NEOM untuk membayangkan dan menyampaikan destinasi baharu dan menarik,” ujarnya.

Sindalah akan mempunyai kawasan marina 86 tempat tidur, serta menempatkan 413 bilik hotel ultra-premium, di samping 333 pangsapuri perkhidmatan mewah.

Tarikan lain di Sindalah termasuk kelab pantai mewah, kelab kapal layar dan 38 tawaran masakan unik yang akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan di Laut Merah.

Arab Saudi menyediakan Trojena khusus sebagai tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029. (FOTO: Vogue Arabia)

Sindalah juga dijangka menjadi destinasi golf popular dengan menawarkan peminat peluang untuk merasai pengalaman padang bertaraf dunia 6,474 ela (5,920 meter) par 70; dan dengan 18 tee, padang golf Sindalah akan memberikan dua pengalaman sembilan lubang yang unik.

Sementara NEOM yang menelan kos mencecah AS$500 bilion merupakan salah satu projek terpenting yang menyokong strategi pelancongan nasional Saudi dalam mempelbagaikan sumber ekonominya yang sebelum ini sangat bergantung kepada minyak selama beberapa dekad.

NEOM melibatkan roses membina penempatan futuristik dan pintar dengan struktur berbentuk linear atau lurus, The Line sepanjang 170 kilometer khusus untuk menempatkan sembilan juta penduduk, yang dilengkapi bangunan pencakar langit berkembar terpanjang di dunia, mencecah 120km dikenali sebagai Mirror Line.

Ilustrasi struktur penempatan penduduk di The Line yang terletak di tengah bandar raya pintar NEOM di Arab Saudi. (FOTO Constructionweekonline)

Sebahagian besar reka bentuk struktur The Line dibina oleh dua bangunan ‘kembar’ Mirror Line berkenaan yang dijangka mengambil masa selama 50 tahun untuk siap sepenuhnya itu, dilengkapi permukaan bercermin kaca, menjulang pada ketinggian mencecah 0.5 km atau 500 meter (1,640 kaki) di atas paras laut –  lebih tinggi daripada bangunan Empire State di New York.

Selain The Line, NEOM juga sedang membina Oxagon, bandar perindustrian di NEOM juga mempunyai semua potensi untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia, yang mana pengunjung boleh datang dan melihat serta membayangkan masa depan.

“Ia adalah di Oxagon di mana semua industri akan berada, dan ia juga adalah pelabuhan NEOM. Namun, kami ingin melihat pelancong menghabiskan satu atau dua hari di Oxagon. 

Ilustrasi bandar raya pintar Oxagon, NEOM di Arab Saudi yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030. (FOTO Tomorrow.city)

“Mereka akan melihat masa depan industri di Oxagon. Segala-galanya dalam NEOM dibina untuk era masa depan. Kami mahu mereka datang dan melihat bagaimana pelabuhan laut masa depan akan beroperasi,” kata Al-Nasr.

Satu lagi projek mega di NEOM ialah pembinaan perkampungan ski dikenali sebagai Trojena yang dibangunkan bersempena Saudi yang disasarkan bakal menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia pada 2029. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/10/2024

– Advertisement –

Scroll to Top