Arab Saudi tugaskan 135 imam beri panduan haji

Arab Saudi tugaskan 135 imam beri panduan haji

JEDDAH: Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi menugaskan seramai 135 imam untuk memberikan bimbingan agama kepada jemaah haji akan datang.

Semua imam itu bersedia untuk menjawab pertanyaan yang berkaitan dengan urusan haji.

Langkah berkenaan susulan arahan kepemimpinan kerajaan Arab Saudi untuk memberikan semua layanan kepada jemaah haji untuk melakukan ibadah dengan tenang, kata kementerian itu.

Talian telefon juga disediakan untuk memberikan maklum balas terhadap pertanyaan jemaah haji dalam 10 bahasa iaitu Arab, Inggeris, Perancis, Turki, Urdu, Hausa, Indonesia, Bengali dan Amharic.

Sebelum ini, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan jemaah haji akan diterima pada 17 dan 18 Julai di empat pusat.

Mereka kemudian akan dibawa ke Masjidil Haram dengan bas untuk mengerjakan tawaf ketibaan sebelum menuju ke tanah suci.

Permit dikeluarkan kepada warganegara dari 150 negara dan keutamaan diberikan kepada mereka yang belum pernah menunaikan haji sebelum ini serta kumpulan umur tertentu.

Kementerian Haji dan Umrah juga meminta semua jemaah yang memenuhi syarat mendapat permit mengerjakan haji tahun ini untuk mengunjungi pusat vaksin terdekat bagi mengambil dos suntikan COVID-19 kedua. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top