Arab Saudi umum bantuan bagi sektor umrah, haji

Arab Saudi umum bantuan bagi sektor umrah, haji

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan pakej bantuan ekonomi kepada sektor tempatan dan antarabangsa bagi mengurangkan kesan negatif pandemik COVID-19 global.

Akhbar Al-Eqtisadiah dan Al-Bilad, dalam ruangan editorialnya melaporkan, penjaga dua kota suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, bertitah pakej bantuan itu akan merangkumi pelbagai aspek termasuk sektor umrah dan haji.

“Lebih daripada 150 inisiatif dilancarkan dengan jumlah peruntukan melebihi 180 bilion riyal (RM197 bilion) bagi syarikat tempatan dan antarabangsa yang terbabit dalam sektor ini.

“Arab Saudi juga menyokong usaha antarabangsa dan menyumbang AS$500 juta (RM2.1 bilion) untuk memerangi wabak coronavirus ini,” titah baginda.

Sementara itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, menekankan bahawa Arab Saudi menyelaras perancangan yang jelas mengenai langkah terbabit sejak awal krisis itu lagi.

Katanya, Arab Saudi bertekad untuk mengekalkan pelan pemulihan ekonomi yang sudah ditetapkan ketika pelancaran Visi Saudi 2030.

Malah, inisiatif untuk memudahkan hubungan bagi sektor haji dan umrah turut menerima Persetujuan Diraja bagi memastikan pelaksanaan enam inisiatif khusus berjalan lancar.

Antaranya, premis penginapan di Makkah dan Madinah akan dikecualikan bayaran cukai perbandaran selama setahun.

Syarikat terbabit dalam perkhidmatan menunaikan haji dan umrah dikecualikan bayaran bagi mengupah kakitangan warga asing untuk tempoh enam bulan.

Pembaharuan lesen premis penginapan di Makkah dan Madinah akan dilakukan secara percuma oleh Kementerian Pelancongan bagi tempoh setahun dan mungkin akan dilanjutkan.

Bayaran permit pemastautin bagi pekerja warga asing dalam sektor berkaitan dengan umrah dan haji akan ditangguhkan selama enam bulan dan tempoh pembayaran boleh dibuat secara ansuran selama 12 bulan.

Pengusaha bas bagi membawa jemaah boleh melanjutkan tempoh lesen mereka secara percuma dan duti kastam bagi pembelian bas baru akan ditangguhkan selama tiga bulan dan boleh dibayar secara ansuran selama empat bulan.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan bahawa bahawa sokongan luar biasa itu menunjukkan kepemimpinan yang bijaksana untuk menangani kesan pandemik pada semua peringkat. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top