Arah tuju United semakin jelas – Wilcox

Arah tuju United semakin jelas – Wilcox

Manchester: Pengarah sukan Manchester United, Jason Wilcox percaya kelab itu kini berada di landasan yang betul di bawah kendalian pengurus Ruben Amorim, selepas menunjukkan peningkatan konsisten dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Buat pertama kali sejak Amorim mengambil alih setahun lalu, United berjaya mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam liga, sekali gus melonjak ke tangga keenam carta.

Pelantikan Wilcox tahun lalu adalah sebahagian daripada pembaharuan besar di Old Trafford selepas jutawan Britain, Sir Jim Ratcliffe, mengambil alih sebahagian pemilikan kelab dan operasi bola sepak.

Musim lalu, United menamatkan saingan di tangga ke-15, prestasi terburuk dalam era moden, serta gagal layak ke pentas Eropah buat kali kedua dalam tempoh 30 tahun.

Namun, Wilcox melihat perkembangan positif sedang berlaku walaupun mengakui perjalanan ke arah kejayaan tidak akan mudah.

“Kami sedang bergerak ke arah yang betul. Kami ada pelan yang jelas. Sudah tentu akan ada halangan sepanjang jalan, tapi kami perlu kekal tenang tanpa terpengaruh dengan tekanan luar,” katanya kepada saluran media rasmi kelab.

Selepas dua musim tanpa aksi Liga Juara-Juara (UCL), kedudukan empat teratas menjadi sasaran wajib buat United, bukan sekadar demi prestij, tetapi juga untuk memastikan mereka mematuhi peraturan kewangan kelestarian (FFP).

Ratcliffe menerima kritikan susulan tindakan mengurangkan kos operasi termasuk dua pusingan pemberhentian kakitangan, namun United tetap melabur besar kira-kira £200 juta (RM1.2 bilion) dalam pasaran perpindahan bagi memperkuat jentera serangan dengan membawa masuk Bryan Mbeumo, Matheus Cunha dan Benjamin Sesko.

Pelaburan itu kini mula menunjukkan hasil apabila Cunha menjaringkan gol pertamanya ketika menewaskan Brighton 4-2 hujung minggu lalu, manakala Mbeumo pula meledak tiga gol dalam dua perlawanan terakhir.

“Untuk kembali bersaing merebut tempat UCL dan kejuaraan EPL, kami perlu terus melabur dalam skuad. Tapi yang penting bukan sekadar beli pemain terbaik, mereka mesti ada karakter kuat dan mampu menyesuaikan diri dengan tekanan di kelab sebesar ini,” tambah Wilcox.

Bagaimanapun, prestasi cemerlang Mbeumo turut menimbulkan kebimbangan kepada Amorim kerana pemain itu bakal terlepas sebahagian besar aksi padat Disember apabila mewakili Cameroon di Piala Negara Afrika (AFCON).

Rakan sepasukan, Amad Diallo (Ivory Coast) juga dijangka terlepas sehingga enam perlawanan EPL, termasuk derbi Manchester menentang City, sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 21 Disember hingga 18 Januari itu.

“Kami tahu situasi ini akan datang. Ia cabaran, tapi juga peluang untuk pemain lain membuktikan kemampuan. Walaupun kami akan kehilangan dua tonggak penting, identiti permainan kami tidak akan berubah,” kata Amorim optimis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top