KOTA KINABALU: Selepas mengeluarkan arahan mengenai etika berpakaian bagi orang awam atau pelanggan ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini, pengarah hospital berkenaan, hari ini, tampil membuat permohonan maaf.
Permohonan maaf itu dibuat dalam satu hantaran di laman Facebook QEH Sabah yang turut menyatakan kekesalan mereka berhubung arahan dikeluarkan sebelum ini.
“Berikutan arahan mengenai etika berpakaian bagi orang awam atau pelanggan ke hospital, pengarah hospital QEH memohon maaf dengan kekeliruan yang timbul.
“Untuk makluman, semua orang awam atau pelanggan yang berurusan di QEH digalakkan berpakaian sopan terutama ketika berurusan di Bahagian Pengurusan. Sebarang kesulitan amatlah dikesali,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, satu arahan berkaitan etika berpakaian bagi orang awam atau pelanggan yang mahu berurusan di hospital berkenaan menjadi tular di media sosial, hari ini.
Arahan berkenaan yang turut tertera tandatangan Pengarah QEH, William Gotulis, antaranya melarang orang awam atau pelanggan QEH menggunakan seluar atau skirt pendek, baju tanpa lengan, seluar jeans koyak dan selipar.
Selain itu, arahan berkenaan turut memberi contoh cara berpakaian yang sesuai seperti memakai seluar panjang, baju berlengan, berkasut, dan skirt di bawah paras lutut.
Arahan itu juga mencuri perhatian pengguna media sosial dengan kebanyakan mereka mengecam tindakan QEH terbabit.
Pengarah Kesihatan Sabah, Christina Rundi ketika dihubungi mengesahkan arahan itu dikeluarkan pihak QEH namun kemudian memberitahu pihak hospital berkenaan telah menarik balik arahan itu serta memohon maaf.