Arbeloa akui Bayern lawan paling konsisten di Eropah

Arbeloa akui Bayern lawan paling konsisten di Eropah

Madrid: Pengurus Real Madrid, Alvaro Arbeloa tidak menafikan pasukannya bakal berdepan cabaran sengit apabila menentang Bayern Munich dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

Menurut Arbeloa, Bayern ketika ini muncul antara pasukan paling konsisten di pentas Eropah, sekali gus menjadikan pertemuan itu ujian besar buat skuad kendaliannya.

Beliau turut memuji kualiti dipamerkan skuad Die Roten di bawah bimbingan Vincent Kompany, terutama dari segi keputusan perlawanan dan corak permainan yang ditampilkan musim ini.

“Real Madrid sentiasa menghadapi cabaran apabila berdepan pasukan-pasukan besar. Bayern sedang melalui musim yang luar biasa, baik daripada aspek keputusan mahupun gaya permainan mereka.

“Bayern menjadi pasukan paling konsisten di Eropah musim ini. Kami tahu cabaran besar menanti kami di atas padang,” katanya.

Arbeloa berkata, pertemuan antara Real dan Bayern sentiasa mempunyai sejarah yang istimewa, lebih-lebih lagi membabitkan dua kelab gergasi Eropah yang sarat dengan tradisi.

Katanya, Bayern memiliki kekuatan menyeluruh apabila agresif ketika bertahan selain kerap mencipta peluang menerusi bahagian sayap.

“Sejarah kami bersama Bayern sangat istimewa. Mereka sangat agresif ketika bertahan dan banyak mencipta peluang menerusi bahagian sayap.

“Mereka seperti sebuah pasukan yang lengkap. Kompany berhak menerima pujian kerana melakukan sesuatu yang hebat di Bayern Munich,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top