Madrid: Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa menegaskan beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap bintang Perancis, Kylian Mbappe menjelang aksi tetangga menentang Atletico Madrid.
Mbappe kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan lutut sebagai pemain gantian ketika menentang Manchester City, Rabu lalu, selepas terlepas lima perlawanan.
Arbeloa mengakui teruja melihat penyerang itu kembali berada pada tahap terbaik, selain turut menyambut kepulangan pemain tengah England, Jude Bellingham yang kini cergas sepenuhnya.
Kedua-dua pemain dijangka berada dalam skuad untuk aksi La Liga menentang pasukan kendalian Diego Simeone di Santiago Bernabeu, Isnin ini.
“Saya sudah katakan sebelum ini, Mbappe hanya akan kembali apabila dia benar-benar 100 peratus.
“Apa yang kami lihat ketika di Manchester, beberapa larian pantas yang dia lakukan sudah cukup membuktikan dia berada dalam keadaan terbaik.
“Kami ada keyakinan maksimum, rasa selamat dan teruja untuk memiliki pemain seperti dia kembali, begitu penting dan berada pada tahap terbaik,” katanya.
Mbappe kini penjaring terbanyak Real musim ini dengan 38 gol daripada 34 perlawanan dalam semua kejohanan.
Arbeloa turut menyambut baik keputusan skuad kebangsaan Perancis memanggil Mbappe bagi aksi antarabangsa menentang Brazil dan Colombia di Amerika Syarikat minggu depan.
“Saya fikir itu sesuatu yang bagus. Dia sudah kembali bermain dan pasti akan diturunkan esok (Isnin), jadi tiada masalah untuk dia menyertai skuad kebangsaan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Bellingham turut dipanggil oleh jurulatih England, Thomas Tuchel meskipun belum beraksi sejak 1 Februari akibat kecederaan hamstring.
“Dia sudah pulih dan akan berada dalam skuad esok. Kita lihat sama ada dia akan bermain, tapi saya jangka dia akan diturunkan.
“Bellingham pemain yang sangat bijak, dia tahu apa yang perlu dilakukan dalam setiap situasi, dan saya gembira dia sudah bersedia untuk membantu pasukan,” jelas Arbeloa.
Real bagaimanapun bakal beraksi tanpa penjaga gol utama, Thibaut Courtois yang mengalami kecederaan paha dan dijangka berehat beberapa minggu.
Namun Arbeloa tetap yakin terhadap kemampuan penggantinya, Andriy Lunin.
“Penjaga gol terbaik dunia cedera, tetapi kami masih ada seorang lagi penjaga gol hebat yang akan membuktikan kualitinya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




