Kuala Lumpur : ARC Group akan menganjurkan Forum Pasaran Modal dan Penggabungan serta Pengambilalihan (M&A) 2026: Edisi Malaysia di sini, pada 7 Mei depan.
Acara yang memasuki tahun keempat itu merupakan platform paling mantap di Asia Tenggara bagi pasaran modal dan rundingan perniagaan rentas sempadan yang akan berlangsung di EQ, Equatorial Plaza.
Penganjuran tahun ini menyasarkan kehadiran pemimpin kanan daripada seluruh ekosistem kewangan serantau bagi membincangkan strategi pertumbuhan, pembentukan modal serta peluang pasaran di seluruh Asia.
Susulan edisi 2025 yang menarik kehadiran lebih 500 eksekutif kanan, pelabur dan penasihat undang-undang, forum 2026 dibina atas legasi kerjasama strategik sepanjang lebih sedekad.
Forum ini direka khusus untuk pengasas, eksekutif peringkat tertinggi dan penasihat profesional bagi bertukar idea serta membina hubungan dalam landskap kewangan yang semakin saling terhubung.
Antara penceramah utama ialah Pengarah Kanan di Nasdaq, Hiren Krishnani yang memimpin aktiviti pasaran modal di seluruh rantau ASEAN. Beliau akan berkongsi pandangan mengenai cara mengemudi pasaran modal global dan mempersiapkan syarikat untuk penyenaraian awam permulaan (IPO) yang berjaya.
Sesi tambahan juga akan meneroka persilangan antara keusahawanan, strategi modal dan pengembangan antarabangsa, sekali gus menonjolkan kepentingan Asia Tenggara sebagai hab pelaburan yang kian berkembang.
Edisi Kuala Lumpur 2026 ini dijangka menjadi forum terbesar dan paling berimpak setakat ini dalam usaha menghubungkan syarikat serantau dengan peluang modal global.
ARC Group yang beribu pejabat di Hong Kong merupakan bank pelaburan global dan firma perunding pengurusan yang menyediakan khidmat nasihat kewangan rentas sempadan, transaksi syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) dan pengurusan aset di pelbagai bidang kuasa termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




