Kuala Lumpur: Dalam era ledakan teknologi pendidikan, tumpuan utama sering terarah kepada kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas penggunaannya. Namun, teknologi realiti terimbuh (AR) juga semakin menyerlah sebagai medium pembelajaran imersif yang mampu merubah cara pelajar memahami konsep secara visual, interaktif dan kontekstual. Gabungan kedua-dua teknologi ini bukan sahaja menyokong pembelajaran berpusatkan pelajar, malah memperkasa kemahiran abad ke-21 secara holistik.
Bersempena pameran inovasi antarabangsa tahunan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) baru-baru ini, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) turut mengambil bahagian dengan mewakili pasukan Universiti Malaya (UM). Projek mereka, “ARChem: Visualising Orbitals in Augmented Reality” yang memanfaatkan realiti terimbuh (‘augmented reality’, atau AR) dalam pendidikan kimia, berjaya dinobatkan sebagai penerima pingat perak.
Selaras dengan tema yang diketengahkan oleh ITEX pada tahun ini, iaitu “The Power of STEAM and AI”, teknologi AR khususnya melalui projek seperti ARChem dilihat mampu bersama-sama dengan kemajuan industri kecerdasan buatan (AI) bagi menjayakan transformasi pendidikan masa hadapan.
ARChem adalah hasil inovasi tiga pensyarah dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), Dr. Syazreen Nadia Sulaiman, ChM. Wan Nurhidayah A. Karim, dan En. Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki. Projek ini bukan sahaja mewakili PASUM, malah menjadi satu-satunya inovasi berasaskan AR yang diketengahkan oleh UM di ITEX 2025. Melalui pendekatan yang inovatif dan interaktif, ARChem membantu pelajar memahami konsep kimia secara visual dalam suasana pembelajaran yang lebih menarik dan efektif.
Inovasi ini membolehkan pelajar meneroka konsep kimia melalui realiti terimbuh (AR) secara interaktif dan imersif. Direka khusus untuk pelajar Asasi Sains Universiti Malaya, ia bertujuan menjadikan pembelajaran lebih menarik, mudah difahami, dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah pengajaran konvensional di dewan kuliah. Teknologi AR yang digunakan selari dengan kecenderungan generasi baharu yang gemar meneroka, bereksperimen dan berinteraksi secara visual.
Inovasi ini memberi nafas baharu dalam pendidikan tinggi menerusi aplikasi teknologi canggih, membolehkan pelajar mengalami sendiri pengalaman pembelajaran digital secara maya serta memperkukuh kepakaran teknikal mereka terhadap kemahiran yang tinggi permintaannya. Modul pembelajaran maya ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran mereka dalam konteks dunia sebenar dan seterusnya mencipta peluang inovasi yang lebih meluas.
Dalam arus perkembangan trend pendidikan global, bukan sahaja AI diberi penekanan, malah teknologi AR turut memainkan peranan penting sebagai medium pembelajaran yang mampu meningkatkan kefahaman, penglibatan dan kreativiti pelajar secara menyeluruh.
Dalam kajian yang dijalankan, dua kumpulan pelajar iaitu masing-masing daripada aliran Sains Hayat dan Sains Fizikal diberi fail ARChem untuk eksplorasi kendiri, manakala dua kumpulan lain menerima pengajaran kuliah biasa. Ujian pra- dan pasca-kuliah menunjukkan peningkatan signifikan dalam kefahaman semua kumpulan, sekali gus membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan AR mampu menyaingi kaedah pengajaran tradisional. Projek ini bukan sekadar menjadikan pembelajaran lebih menarik, tetapi juga melatih pelajar untuk lebih berdikari dan menjimatkan masa kuliah untuk topik yang lebih mencabar.
Kejayaan ARChem di pentas ITEX 2025 bukan sahaja mengangkat nama Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dalam arena inovasi pendidikan, malah menjadi bukti bahawa teknologi AR mempunyai potensi besar untuk mendefinisikan semula pendekatan pengajaran dan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi. Dalam dunia yang semakin mengintegrasikan AI sebagai tunjang pembangunan, AR tampil sebagai pelengkap yang setara penting demi mendukung visi pendidikan masa hadapan yang lebih interaktif, inklusif dan berdaya saing.
Maklumat lanjut mengenai inovasi ini boleh didapati melalui ChM Wan Nurhidayah binti A Karim, Dr Syazreen Nadia binti Sulaiman, atau Che Mohd Farhan Che Mat Dusuki dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya di wannurhidayah@um.edu.my



