am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua aktivis Malaysia, Ardell Aryana dan Haikal Abdullah yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), dihantar ke sebuah hospital di Istanbul untuk menerima rawatan lanjut, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin ketika dihubungi Buletin TV3, malam ini.
Beliau mendedahkan Ardell dan Haikal antara aktivis yang diperlakukan dengan kekerasan oleh rejim Zionis ketika ditahan.
“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan.
“Ketika ditahan, rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka.
“Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah dengan tekanan darah rendah.
“Haikal pula mendakwa beliau dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya.
“Beliau kini memerlukan rawatan lanjut,” katanya.
Selain Ardell dan Haikal, Fahmi turut menyatakan beberapa lagi aktivis Malaysia turut diperlakukan sedemikian, termasuk PU Rahmat, Heliza dan Hazwani Helmi.
Bagaimanapun, katanya, aktivis lain berada dalam keadaan sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Turkiye, semalam.
Fahmi menegaskan, CENTHRA akan mengambil keterangan semua aktivis Malaysia sebaik mereka pulang ke tanah air berhubung kekejaman rejim Zionis terhadap mereka.
“Keterangan itu termasuk pengalaman mereka di atas kapal, ketika ditahan, sehinggalah dikeluarkan daripada Penjara Ketziot.
“Kronologi berkaitan penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan.
“Jika bukti mencukupi, kami bercadang memfailkan aduan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan kepada Israel.
“Sekiranya tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, tindakan lanjut termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




