Argentina impi cipta sejarah

Argentina impi cipta sejarah

Lyon: Pemain pertahanan Argentina, Nicolas Tagliafico berkata, menjadi pasukan pertama mempertahankan gelaran Piala Dunia dalam tempoh 64 tahun adalah satu impian buat juara dunia tiga kali itu.

Gergasi Amerika Selatan itu antara pasukan pilihan untuk kejohanan tahun ini di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, selepas menjuarai edisi di Qatar empat tahun lalu dengan inspirasi Lionel Messi.

Messi, kini berusia 38 tahun, berkata ia akan menjadi Piala Dunia keenam dan terakhirnya. Argentina pula berada dalam prestasi terbaik menjelang kejohanan selepas menamatkan kempen kelayakan zon Amerika Selatan di tangga teratas.

Negara terakhir yang memenangi Piala Dunia berturut-turut ialah Brazil era Pelé pada 1958 dan 1962, selepas Itali melakukannya pada 1934 dan 1938.

“Hanya Brazil dan Itali pernah menang dua Piala Dunia berturut-turut, tapi itu sudah lama,” kata Tagliafico kepada AFP.

“Ia satu impian, seperti impian kami untuk memenanginya sekali, tetapi kami perlu fokus hari demi hari, satu perlawanan demi satu, tanpa terlalu terbawa-bawa, kerana akhirnya kerja harian itulah yang akan membuahkan hasil.”

Argentina masih mengekalkan sebahagian besar skuad yang menjuarai Piala Dunia di Qatar, walaupun beberapa pemain muda kini mula menembusi pasukan utama.

Bintang muda Como, Nicolas Paz, pertahanan Bournemouth Marcos Senesi dan pemain Strasbourg Valentin Barco antara muka baharu yang berharap dapat beraksi di Piala Dunia.

Rakan sepasukan Barco di kelab, Joaquin Panichelli, penjaring terbanyak Ligue 1 Perancis musim ini, dijangka turut beraksi, namun kini berkemungkinan besar terlepas kejohanan selepas mengalami kecederaan lutut ketika latihan pada Khamis.

Laporan media menyebut beliau mengalami kecederaan ACL dan dengan hanya tiga bulan sebelum Piala Dunia bermula, peluangnya untuk beraksi kini tipis.

“Saya fikir ada gabungan pemain muda, mungkin kurang pengalaman, tetapi penuh semangat dan keinginan kuat untuk menyarung jersi kebangsaan,” kata Tagliafico.

“Saya ada perasaan yang baik tentang pasukan ini, walaupun kadang-kadang nampak seperti mereka sedikit leka.

“Tetapi dalam pertandingan seperti ini, pasukan akan kembali kepada prestasi terbaik, motivasi mereka akan kembali.”

Tagliafico, yang kini bersama Lyon, juga sedar bahawa format Piala Dunia kali ini yang diperluaskan kepada 48 pasukan di seluruh benua akan menjadi cabaran berbeza berbanding edisi di Qatar, di mana semua perlawanan berlangsung sekitar Doha.

“Dari segi perjalanan, latihan dan venue perlawanan, sebenarnya belum banyak dibincangkan mengenai keseluruhan organisasi,” katanya.

“Kami tahu kami akan berada di Kansas City (kem asas), tetapi selain itu, kami tidak tahu banyak…

“Tambahan pula, ada satu lagi perlawanan penting, dan kami boleh tersingkir di pusingan 32 terbaik hanya disebabkan satu kesilapan kecil.

“Ia Piala Dunia yang berbeza, dengan lebih banyak pasukan, dan saya fikir ia akan menjadi lebih kompetitif.”

Argentina akan menentang Mauritius dalam aksi persahabatan awal pagi esok, sebelum meneruskan persiapan menentang Zambia pada Selasa.

Mereka pada asalnya dijadual bertemu juara Eropah Sepanyol dalam perlawanan Finalissima di Doha, namun perlawanan itu dibatalkan susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.

Misi mempertahankan gelaran Argentina akan bermula pada 16 Jun menentang Algeria di Kansas City sebelum beralih ke Arlington untuk bertemu Austria dan Jordan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top