Buenos Aires: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni berkata juara dunia itu akan terus mengaplikasikan formula kemenangan yang membawa mereka menjulang trofi Piala Dunia Qatar 2022 selepas mengetahui lawan bagi saingan Piala Dunia 2026.
La Albiceleste diundi bersama Algeria, Austria dan Jordan dalam Kumpulan J yang dianggap peminat di Buenos Aires sebagai kumpulan yang memihak kepada mereka, namun Scaloni memberi amaran bahawa tiada perlawanan mudah.
“Kami akan berikan yang maksimum dan cuba lakukan apa yang kami buat pada Piala Dunia lalu, iaitu memberikan segala yang kami mampu dan tidak menyerah walau satu bola sekalipun,” kata Scaloni yang hadir ke majlis undian sambil memegang trofi sebagai jurulatih juara bertahan.
Argentina dijangka berdepan laluan yang mencabar menuju final dengan pertemuan pusingan 32 terbaik menanti menentang pasukan dari Kumpulan H, yang dibarisi kuasa besar Sepanyol dan Uruguay serta Arab Saudi dan Cape Verde.
“Seperti pada 2022, kami tetap katakan tiada lawan yang mudah. Anda perlu bermain setiap perlawanan. Jika kemudian laluan bersilang dengan Kumpulan H, ia sememangnya sukar. Tetapi kami perlu melepasi peringkat kumpulan dahulu, kemudian baru kita fikir,” kata Scaloni.
Jurulatih itu berkata Algeria adalah pasukan yang baik dengan pemain hebat dan memuji jurulatih mereka, Vladimir Petkovic, yang pernah menjadi ketua jurulatihnya ketika di Lazio, Itali.
Beliau turut memuji Austria kerana prestasi cemerlang di pusingan kelayakan apabila muncul juara kumpulan, manakala Jordan selaku pendatang baharu dianggap kurang diketahui, namun Scaloni menegaskan Argentina tidak akan mengambil mudah mana-mana lawan.
Memori kekalahan mengejut 2-1 Argentina kepada Arab Saudi pada aksi pembukaan di Qatar masih segar.
“Kami sudah ada pengalaman itu, kami perlu benar-benar fokus dalam setiap perlawanan,” kata Scaloni ketika mengulas mengenai Jordan.
Argentina menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan penalti selepas keputusan 3-3 untuk menjulang Piala Dunia 2022.
© New Straits Times Press (M) Bhd




