Paris:Perenang Australia, Mollie O’Callaghan, berjaya menewaskan pemegang rekod dunia Ariarne Titmus dalam satu saingan yang cukup sengit untuk memenangi pingat emas 200 meter (m) gaya bebas wanita di Sukan Olimpik Paris.
Mollie memenangi saingan dengan catatan masa rekod Olimpik baru 1 minit 53.27 saat, dengan rakan senegaranya Ariarne 0.54 saat di belakang dan Siobhan Haughey dari Hong Kong meraih gangsa.
“Ini adalah suatu penghormatan besar untuk berada bersama semua orang, dan bersaing dengan Arnie (Titmus). Dia adalah seorang pejuang yang hebat. Dia berenang seperti seorang juara sejati.
“Dan ia merupakan satu kehormatan untuk berlatih bersamanya dan mempunyai pasukan yang hebat di sekitar kami,”kata Mollie.
Siobhan, yang memenangi perak di belakang Ariarne dalam saingan di Tokyo adalah yang terpantas keluar dan mendahului hingga penanda 150m sebelum pasangan Australia itu mengejarnya dan bersaing rapat di peringkat akhir.
Tetapi apabila tiba di pecutan akhir, Mollie mempunyai lebih kekuatan berbanding rakan sepasukannya, meninggalkan Ariarne di belakang apabila dia menyentuh dinding pertama.
Pasangan ini telah bersaing di puncak sukan renang dalam dua tahun kebelakangan ini Mollie adalah bekas pemegang rekod dunia tetapi Ariarne mencatatkan rekod baru 1:52.23s di percubaan Australia pada bulan Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd