mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali ke-4 berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.
Majlis ABK 2024-2025 berlangsung sebentar tadi menyaksikan sebanyak 17 kategori dipertandingkan pada ABK kali ini.
Arif Aiman, pemain muda berusia 23 tahun terus menjadikan Liga Malaysia musim ini sebagai pentas untuk dirinya memperagakan kehebatannya dengan mencetak 12 gol dan 13 ‘assist’ sekali gus membantu kelab Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super, Piala FA serta melangkah ke final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Keupayaan pemain lincah itu tidak boleh disangkal lagi apabila diberikan kepercayaan oleh Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio untuk berada dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan bagi menggerakkan jentera serangan pasukan.
Kecemerlangan itu meletakkan pemain kebangsaan itu berada di kelas tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain yang meraih gelaran MVP sebanyak empat kali berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 sehingga 2012.
Ia malam yang cukup indah buat Arif Aiman apabila dia turut mendominasi tiga lagi kategori lain iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2024-2025.
Ini juga adalah musim pertama Arif memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak tahun 2021 sehingga 2023.
Sementara itu, rakan sepasukan Arif Aiman, Bergson da Silva turut mencuri tumpuan apabila meraih Kasut Emas Liga Super selepas cemerlang mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 32 gol secara keseluruhan musim ini di pentas liga.
Bahkan, jumlah jaringan itu adalah yang terbanyak buat pemain kelahiran Brazil ini sepanjang beraksi di Liga Malaysia bersama JDT apabila kali terakhir menjadi penjaring terbanyak pada musim 2022 dengan 29 jaringan di Liga Super.
Bukan itu sahaja, sejak menyertai JDT pada tahun 2021, Bergson menjadi simbol ketajaman serangan skuad Harimau Selatan ini menerusi jumlah gol dan sumbangannya di atas padang sekali gus melayakkan dia untuk meraih hatrik Pemain Import Terbaik.
Bagi kategori Jurulatih Terbaik pula, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mencipta kejutan untuk meraih trofi itu buat julung kalinya menewaskan dua calon lain iaitu Hector Bidoglio (JDT) dan Kinoshi Katsuhito (Selangor FC).
Pernah tercalon pada musim 2019 sehingga 2021, ketua jurulatih kelahiran Singapura itu akhirnya berjaya membuktikan kredibilitinya untuk meraih gelaran Jurulatih Terbaik selepas kecemerlangan membawa Kuching City menduduki tangga ke-4 Liga Super pada musim kedua
dalam saingan elit Liga Malaysia itu.
Ia pencapaian terbaik Kuching City yang pada awal penubuhannya sebagai kelab amatur yang bersaing dalam Liga Bolasepak Rakyat pada 2015 sehingga kini berdiri gah dalam kelompok terbaik pasukan Liga Super.
Secara keseluruhan, ABK 2024-2025 menyaksikan kelab JDT berjaya menguasai 8 kategori utama yang dipertandingkan pada kali ini.
Selain tiga anugerah yang dimenangi oleh Arif serta dua anugerah yang diraih oleh Bergson, Ahmad Syihan Hazmi turut menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali ketiga berturut-turut manakala Feroz Baharudin pula merangkul trofi Pertahanan Terbaik buat kali pertama.
Selain itu, JDT selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut tidak ketinggalan untuk dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik pada musim ini menjadikan 8 anugerah utama berjaya dirangkul buat skuad kendalian Bidoglio ini.
Kategori lain menyaksikan penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy Tamin (JDT II) pula merangkul dua trofi iaitu Kasut Emas Piala MFL selain berjaya mendominasi kategori Pemain Piala MFL Terbaik menewaskan adik-beradik dari Selangor FC iaitu Haykal Danish Haizon dan Harry Danish Haizon.
Tonggak Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue pula dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik buat julung kalinya apabila diberi kepercayaan mengemudi bahagian serangan pada musim ini dengan berjaya meraih 17 gol di pentas Liga Super sekali gus turut sama membawa pulang Kasut Emas Liga Super (Tempatan).
Rakan sepasukannya, Haqimi Azim Rosli tidak ketinggalan untuk merasai kemenangan apabila mengungguli kategori Pemain Muda Terbaik mengatasi calon Haykal Danish Haizon (Selangor FC) dan Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC).
Boys of Straits Johor Darul Ta’zim pula membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi mereka selaku pemain ke-12 berbaloi untuk mereka meraih trofi bagi Anugerah Penyokong Terbaik manakala Terengganu FC berjaya mempertahankan Anugerah Fairplay untuk musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd