rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Kelibat ramai pemain baharu musim ini menjadi motivasi buat Arif Aiman Hanapi bekerja lebih keras bagi menjamin tempat dalam kesebelasan utama skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut pemain sayap lincah Harimau Selatan itu, kehadiran pemain import dan pemain warisan nyata mewujudkan saingan sihat pada sesi latihan dan memberikan peluang kepada kesemua pemain meningkatkan prestasi masing-masing.
“Ya, sekarang saya kena bekerja keras untuk tempat saya. Saya perlu ‘fight’ antara satu sama lain dalam latihan.
“Saya buat persiapan dengan serius sebelum musim bermula kerana setiap musim adalah peluang baharu bagi saya dan saya tidak anggap ia sama seperti musim sebelum ini,
“Oleh itu, setiap musim baru penting bagi saya. Kedatangan pemain baharu banyak membantu pasukan dan JDT semakin lama semakin kuat,” katanya.
Untuk rekod, JDT menewaskan Selangor FC, 3-0 bagi menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Arif Aiman turut meledak satu gol pada minit ke-72 bagi melengkapkan kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan selepas Jairo da Silva membuka jaringan seawal minit kedua sebelum Eddy Israfilov menanduk masuk gol kedua pada minit ke-63.
Mengulas prestasinya di padang, Arif Aiman mengakui setiap pemain akan melalui detik sukar dan senang, namun dia bertekad untuk tidak berputus asa dan sentiasa beri yang terbaik ketika beraksi di padang.
Malah katanya, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih kerana memberinya kebebasan beraksi sewaktu latihan, selain menekankan persiapan peribadi sebagai faktor penting sebelum saingan liga bermula.
“Dalam bola sepak, ada masa kita bergelut, ada masa senang. Tapi saya akan terus belajar dan ambil peluang, tak kira lawan kuat atau lemah,” katanya.
Sementara itu Arif Aiman berkata, kehadiran penyerang import baharu, Jairo Da Silva memberikan dimensi berbeza berbanding gandingannya dengan peledak berbisa JDT, Bergson Da Silva.
“Setiap pemain ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dalam pramusim, kami banyak bermain bersama, jadi saya tahu bagaimana Jairo bermain dan dia pun tahu cara saya.
“Dengan Bergson lain, dengan Jairo pun lain. Setiap minit dalam perlawanan situasi berbeza, dan dari situ kami cuba sesuaikan diri,” ujar Arif Aiman.
© New Straits Times Press (M) Bhd