Arif rela ke rumah anak yatim, enggan susahkan ibu

Arif rela ke rumah anak yatim, enggan susahkan ibu

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ketika usia 13 tahun, Mohd Arif Mohd Zin memilih sendiri untuk menjadi penghuni Asrama Anak Yatim Darul Falah di Bukit Payong, Marang.

Dia membuat keputusan itu kerana enggan menyusahkan ibunya Rohani A Rahman, 56, yang hanya bekerja sebagai tukang jahit pada 2007.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berbuat demikian selepas melihat sendiri ibunya bersusah payah membesarkan mereka selepas kematian bapa pada September 2006 akibat strok.

Kini berusia 30 tahun, Mohd Arif bekerja sebagai juruteknik jantung di Gleneagles Jerudong Park Medical Centre Brunei Darussalam dan berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu keluarganya sebelum ini.

“Kehidupan kami sekeluarga berubah selepas kematian ayah (Mohd Zain Mohd Joning) dan saya nampak betapa peritnya ibu mahu membesarkan kami empat beradik dan dua lagi sepupu.

“Saya pilih ke rumah anak yatim kerana mahu kurangkan beban ibu. Tidak dinafikan ia bukan mudah kerana berjauhan dengan keluarga kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong, Marang itu.

Mohd Arif bersyukur perjalanan hidupnya dipermudahkan apabila berjaya menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan Teknologi Kardiovaskular di Kolej Islam Sains dan Teknologi di Bachok, Kelantan 2012.

“Sebaik menamatkan pengajian pada 2015, saya diterima bekerja di Sri Kota Specialist Medical Centre di Klang bermula 2015 hingga 2021.

“Selepas hampir enam tahun bekerja di Klang, saya cuba mencari kerja baharu kerana mahu mencari pengalaman dan saya kini bekerja di Brunei bermula Ogos 2021.

“Sekarang ini, saya sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sama di Management & Science University (MSU) Shah Alam dan inya-Allah tamat pada Februari tahun depan,” katanya.

Arif berkata, kekurangan yang ada tidak dijadikan alasan sebaliknya menjadi pendorong kepadanya untuk mengubah kehidupannya.

“Niat saya untuk ibu dan mahu dia hidup selesa, Alhamdulliah, syukur dengan apa kami peroleh setakat ini.

“Kejayaan tidak akan datang tanpa pengorbanan dan tentunya ibu, adik beradik dan semua yang berada di Darul Falah adalah insan penting yang membawa kepada kejayaan saya hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd