ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gandingan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mara ke pusingan kedua Masters China selepas mengejutkan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi sebentar tadi.
Bagaimanapun, beregu lelaki ranking ke-23 dunia itu terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 21-17, 18-21, 21-16 di Gimnasium Shenzen, China.
Ini adalah pertemuan pertama Arif-Roy King dengan pasangan ke-16 dunia itu dan selepas ini mereka mereka bakal berdepan ujian lebih sukar apabila berdepan pilihan ketiga juga wakil China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Ji Ting-Xiang Yu mara selepas mengalahkan satu lagi pasangan negara, Haikal Nazri-Choong Hon Jian 12-21, 15-21.
Turut mara ialah pilihan ketujuh, Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani yang menumpaskan gandingan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-23, 21-14, 21-13.
Mereka bakal berdepan wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin yang sebelum itu mengalahkan rakan senegara, Fang Chih Lee-Fang Jen Lee.
Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terkandas apabila mereka ditunjukkan jalan keluar oleh wakil tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.
Pasangan suami isteri yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh itu tewas straight set 9-21, 9-21.
Sementara itu, perseorangan wanita, Goh Jin Wei terus malang apabila tersingkir buat kali keenam berturut-turut di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Kanada, Michelle Li 18-21, 16-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd