Arif-Roy King ke final Terbuka Macau

Arif-Roy King ke final Terbuka Macau

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King melakar pencapaian terbaik mereka musim ini apabila mara ke final Terbuka Macau, sebentar tadi.

Pasangan ranking ke-24 dunia itu hanya memerlukan 34 minit untuk mengetepikan cabaran rakan senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri 21-13, 21-15 pada aksi separuh akhir di Macao East Asian Games Dome.

Kejayaan itu menjadi penampilan final pertama mereka musim ini dan yang kedua sejak digandingkan tahun lalu selepas muncul naib juara Masters Sepanyol 2024.

Final esok bakal menjadi peluang terbaik buat Wan Arif-Roy King untuk merangkul gelaran sulung dalam Jelajah Dunia BWF dan memperkukuh kedudukan mereka dalam kelompok utama beregu lelaki dunia.

Mereka kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir yang menemukan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dan beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen bagi perebutan gelaran esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top