Arif-Roy King, Soon Huat-Shevon mara pusingan kedua Terbuka Perancis

Arif-Roy King, Soon Huat-Shevon mara pusingan kedua Terbuka Perancis

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua wakil beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, mempamerkan aksi bertenaga apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2025 yang berlangsung di Glaz Arena, sebentar tadi.

Dalam aksi beregu lelaki, Arif-Roy King menewaskan pasangan tuan rumah Eloi Adam-Leo Rossi 21-19, 21-17 dalam pertarungan dua set yang berlangsung selama 48 minit.

Mereka bakal berdepan cabaran lebih sukar di pusingan kedua apabila dijadual menentang pemenang antara pasangan China, Xie Haonan-Zeng Wei Han atau pilihan keempat kejohanan, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, Soon Huat-Shevon bangkit selepas tewas set pertama untuk menumpaskan gandingan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah, 15-21, 21-17, 21-17.

Kemenangan itu melayakkan mereka ke pusingan kedua untuk menentang pasangan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson.

Bagaimanapun, satu lagi wakil negara dalam acara beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting, tidak bernasib baik apabila tewas kepada pasangan tuan rumah, Margot Lambert-Camille Pognante, 16-21, 21-14, 17-21.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top