'Ariq anak istimewa… andai kami tiada nanti siapa jaga dia'

'Ariq anak istimewa… andai kami tiada nanti siapa jaga dia'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Orang cakap dapat anak istimewa senang di sana (akhirat) nanti kerana ada tiket nak ke syurga tapi perjalanannya tak mudah.

“Hanya yang ada (anak istimewa) dan melaluinya saja faham dan saya memang tak dapat bayangkan siapa boleh menjaganya andai saya dengan suami pergi (meninggal dunia) dahulu,” kata Siti Najla Rodzuan.

Siti Najla, 34, ibu kepada dua anak dengan yang sulung, Muhammad Ariq Naqil, 6, atau nama manjanya Ariq disahkan orang kurang upaya (OKU) ketika berumur dua tahun akibat Cerebral Palsy (CP) Spastic Quadriplegia iaitu kelumpuhan otak kategori keempat.

Ia menyebabkan Ariq terlantar kerana otot pergerakan kaki dan tangannya yang mengeras selain diserang sawan setiap hari.

Manakala Siti Najla juga sanggup menjadi suri rumah sepenuh demi menjaga anak syurganya itu yang memerlukan perhatian rapi kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Bercerita lanjut, Siti Najla berkata, Ariq dilahirkan secara pembedahan empat hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan selepas lemas dalam perut dan terbelit tali pusat.

Katanya, selepas dilahirkan, Ariq ditempatkan 18 hari di dalam Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Keadaannya agak kritikal dan waktu itu doktor kata kalau kuat, Ariq boleh bertahan.

“Alhamdulillah, dapat balik rumah selepas 18 hari dan mulanya okay, menyusu pun macam biasa tapi selepas dua tahun, perkembangannya nampak tak normal.

“Ariq tak boleh meniarap dan merangkak… hasil pemeriksaan lanjut, doktor sahkannya menghidap CP dan keadaannya berterusan begitu serta tak dapat sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Sungai Besi, di sini.

Menurut Siti Najla, berita duka diterima itu membuatkannya sebak kerana tidak menyangka anak sulungnya diuji sebegitu.

Bagaimanapun, sokongan suami, Muhammad Aman Shafiq Azman, 36, menguatkan dirinya untuk berdamai dengan takdir Ilahi.

“Saya dan suami ikhtiar dengan buat fisioterapi di rumah hasil tunjuk ajar doktor untuk bantu lembutkan kakinya yang keras.

“Kaki Ariq pun dipakaikan alat bantuan sokongan dan sejak umur enam bulan sampai sekarang, dia hanya minum susu melalui tiub dengan kekerapan lima kali sehari.

“Selain itu, saya dan suami masih bawa Ariq menjalani pemeriksaan susulan audio dan pendengaran di Hospital Ampang, berkaitan sawan dan penglihatan di Hospital Tunku Azizah (HTA) dan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur,” katanya yang hanya mampu berdoa dan mengharapkan keajaiban untuk melihat Ariq kembali sembuh.

Sementara itu, Muhammad Aman Shafiq yang bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat swasta berkata, mereka berdua tiada pengalaman menjaga anak istimewa jadi banyak belajar perkara baru sejak adanya Ariq.

“Kekuatan saya datang daripada isteri yang banyak membantu menguruskan Ariq dan seorang lagi anak kami. (Siti Arissa Nayla, 2).

“Waktu tidur Ariq tak menentu, dan dulu sering juga meragam malah kuat menangis hingga pernah sampai lima ke tujuh jam.

“Sampai umur tiga tahun juga dia begitu… sekarang pun sukar nak dijangka cuma tak macam dulu jadi waktu malam memang saya dengan isteri bergilir-gilir jaga.

“Sawan pula boleh dikatakan setiap hari dan Ariq ada banyak kahak… tapi mujur ada terima mesin penyedut sumbangan Baitulmal selain susu, lampin pakai buang serta kerusi roda,” katanya.

Menurutnya, sebagai bapa dia mengharapkan yang terbaik buat Ariq dan tidak menaruh harapan anaknya itu kembali normal.

“Doktor kata tak boleh sembuh tapi saya percaya dengan kekuasaan Allah SWT. Jika Allah SWT nak bagi sembuh, tak mustahil.

“Selagi ada kudrat, saya dan isteri akan terus jaga anak syurga kami walaupun tak pernah dengar suaranya serta hanya dapat tahu macam mana rasanya dipanggil papa selepas adanya anak kedua,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 164230370050 atas nama Muhammad Aman Shafiq Azman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top