ARMADA gesa SPR bentang pelan laksana undi 18 tahun

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

zanariah_mutalib@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Satu pelan menyeluruh berhubung rancangan pelaksanaan kelayakan undi 18 tahun perlu segera dibentangkan kepada umum, bagi memastikan berlakunya proses semak dan imbang mengenai perkara itu.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata usaha bersepadu semua pihak yang lebih bersasar berserta iltizam politik perlu bagi memastikan pelaksanaan aspirasi undi 18 itu menjadi kenyataan.

Beliau berkata, pergerakan itu kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, berhubung penundaan pelaksanaan undi 18 yang sepatutnya dilaksanakan Julai ini kepada September 2022.

“ARMADA kekal dengan pendirian pelaksanaan penurunan had usia pengundi daripada 21 kepada 18 tahun tetap perlu dilaksana seperti yang dirancang.

“Bagaimanapun, ARMADA memahami SPR perlu meneliti kaedah yang paling sesuai untuk memastikan kemasukan pengundi baharu berusia 18 hingga 21 tahun dibuat dengan baik supaya tidak timbul kekeliruan pada hari mengundi kelak,” katanya.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Abdul Ghani berkata, SPR harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Wan Ahmad Fayshal berkata, ARMADA juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada semua agensi kerajaan yang terbabit bagi mempercepat proses pelaksanaan undi 18 itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd