Armizan selar dakwaan isu pemansuhan subsidi gas LPG

Armizan selar dakwaan isu pemansuhan subsidi gas LPG

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru Datuk Junz Wong berkaitan isu pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG).

Beliau menegaskan kenyataan dikeluarkan pemimpin Parti Warisan (Warisan) itu secara jelas bermotifkan politik dan cubaan mengelirukan rakyat.

“Kenapa saya kata bermotif politik kerana beliau meletakkan tuduhan kepada kerajaan negeri dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta mengaitkan tentang pilihan raya negeri.

“Hakikatnya, perkara yang disentuh bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi kerajaan Persekutuan.

“Tidak wajar Junz Wong sengaja mencalar imej kerajaan dengan kenyataan yang mengelirukan.

“Perkara yang disentuh bukanlah satu dasar atau peraturan baharu di bawah Kerajaan Madani dan bukanlah pemotongan subsidi sebagaimana didakwa.

“Hakikatnya, hal ini terkait dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang sudah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Selain itu, apa yang beliau sebut sebagai notis berkenaan bukanlah satu dokumen kompaun kesalahan tetapi merupakan dokumen kenyataan pemeriksaan premis yang merupakan dokumen standard yang akan diserahkan Penguat Kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan.

“Ini termasuk pemeriksaan pematuhan semua perundangan di bawah bidang kuasa KPDN yang berkaitan seperti pemeriksaan tanda harga, alat timbang sukat dan semakan permit barang kawalan.

“Isu berkait LPG adalah merujuk kepada Peraturan yang diwartakan pada 2021 tersebut yang mengkehendaki mana-mana pihak yang menyimpan LPG di premis pada satu-satu masa melebihi kadar 42 kilogram (melebihi tiga tong LPG 14 kg) perlu untuk memohon permit barang kawalan.

“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang tidak menyimpan atau menggunakan melebihi had berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan permit barang kawalan.

“Saya tidak fikir banyak kedai makan gerai makan atau gerai burger yang beliau sebutkan perlu untuk menyimpan atau menggunakan tong LPG melebihi 42 kg pada satu-satu masa melainkan premis perniagaan berskala besar,” katanya ketika sidang media sempena Pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2025 di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan menyatakan Junz Wong memainkan sentimen beban kos dipindahkan kepada rakyat tanpa menyebut bahawa subsidi LPG juga datang daripada duit rakyat sendiri iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai.

“Adalah tidak wajar semua kos perniagaan termasuk perniagaan berskala besar ditanggung melalui duit rakyat.

“Sekiranya dia ada kes spesifik mana-mana perniagaan yang perlu menggunakan LPG melebihi 42 kg pada satu satu masa, saya mohon maklumkan saya.

“Kita boleh semak sama ada premis-premis perniagaan ini menjual barangan dan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat pada harga yang berpatutan, sekiranya kos sara hidup rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan subsidi duit rakyat digunakan untuk operasi perniagaan mereka.

“Perlu diingat, subsidi LPG mencecah RM3.4 bilion pada 2024. Ini adalah satu jenis subsidi kepenggunaan, bukannya subsidi perniagaan atau perdagangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top