London: Kepa Arrizabalaga muncul sebagai wira Arsenal di suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi apabila menyelamatkan sepakan penalti ketika penentuan sepakan penalti, sekali gus melengkapkan malam penuh malang buat pertahanan Crystal Palace, Maxence Lacroix.
Gol sendiri Lacroix meletakkan Arsenal di hadapan dengan baki 10 minit permainan di Stadium Emirates sebelum Marc Guehi menjaringkan gol penyamaan Palace pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 1-1.
Keputusan itu membawa kepada penentuan sepakan penalti dengan kedua-dua pasukan menyempurnakan tujuh sepakan pertama masing-masing.
William Saliba menjaringkan sepakan kelapan Arsenal sebelum Kepa melayangkan badan ke kanan untuk menepis sepakan Lacroix, sekali gus memastikan kemenangan 8-7.
Ia detik penuh emosi buat penjaga gol Sepanyol itu, yang pernah mencuri perhatian apabila enggan dikeluarkan sebelum kekalahan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti di final Piala Liga menentang Manchester City pada 2019.
Kepa pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Chelsea kalah kepada Liverpool di final Piala Liga 2022.
The Gunners akan menentang seteru London, Chelsea, pada separuh akhir secara timbal balik pada Januari dan Februari, manakala Manchester City akan berdepan juara bertahan, Newcastle, dalam satu lagi pertemuan separuh akhir.
Arsenal mara ke separuh akhir Piala Liga buat tahun kedua berturut-turut ketika mereka memburu trofi pertama sejak menjuarai Piala FA pada 2020.
Kelab dari utara London itu hanya pernah memenangi Piala Liga dua kali, dengan kejayaan terakhir dicapai pada musim 1992-93, sebelum mana-mana pemain skuad semasa mereka dilahirkan.
Selepas menyambut Krismas pada Khamis, anak buah Mikel Arteta akan kembali memberi tumpuan kepada perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan aksi di tempat sendiri menentang Brighton dan pasukan di tempat ketiga, Aston Villa, untuk menutup tirai tahun 2025.
Memenangi gelaran liga England pertama sejak 2004 jelas menjadi sasaran utama Arsenal musim ini, namun menjulang Piala Liga pada Mac nanti akan memberi suntikan besar kepada kelab yang ketandusan kejuaraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Palace pula yang dibelasah Leeds dalam aksi EPL pada Sabtu lalu, turun untuk perlawanan ketiga mereka dalam tempoh enam hari berikutan kesesakan jadual akibat penglibatan dalam Liga Konferens UEFA.
Arteta melakukan lapan pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Everton pada Sabtu, namun masih menurunkan barisan kuat yang menampilkan William Saliba, Mikel Merino, Eberechi Eze, Gabriel Martinelli dan Gabriel Jesus.
Jesus yang mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior pada lutut kirinya pada Januari, membuat penampilan sebagai pemain utama buat kali pertama dalam tempoh 345 hari selepas kembali beraksi sebagai pemain gantian menentang Club Brugge, awal bulan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




