Bournemouth: Mikel Arteta mengakui kekalahan mengejut 0-2 Arsenal di tangan Bournemouth adalah ‘kemalangan yang menunggu untuk berlaku’ selepas kad merah diterima William Saliba menyebabkan mereka mengalami kekalahan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak April lalu.
Pasukan bimbingan Arteta yang sedang mengejar gelaran terpaksa bermain selama satu jam dengan 10 orang pemain selepas pemain pertahanan Perancis, Saliba, dilayangkan kad merah kerana mengasari Evanilson.
Pengadil, Rob Jones pada mulanya menunjukkan kad kuning kepada Saliba tetapi kemudian dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Ini adalah kali ketiga Arsenal menyaksikan pemain mereka dibuang padang dalam liga musim ini selepas Declan Rice dilayangkan kad merah ketika menentang Brighton dan Leandro Trossard dibuang padang di Manchester City.
Arteta mengakui masalah disiplin membuatkan mereka sukar untuk menang, dengan Arsenal hanya meraih dua mata daripada tiga perlawanan yang menyaksikan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
“Ia sangat sukar untuk menang dalam Liga Perdana dengan 10 orang pemain selama 60 minit. Ia adalah kemalangan yang menunggu untuk berlaku. Kami terpaksa melaluinya dalam tiga perlawanan dan itu menyebabkan kami kalah.
“Kami mempunyai peluang dan momen terbaik dalam perlawanan untuk menjaringkan gol dan meraih keputusan yang berbeza, tetapi kemudian kami dibolosi.
“Kami cuba untuk mematuhi peraturan. Ketiga-tiga kad merah adalah berbeza dan keputusan juga berbeza,” katanya.
Tewas dalam liga untuk kali pertama sejak kekalahan 0-2 kepada Aston Villa di Stadium Emirates musim lalu, kekalahan Arsenal itu mensia-siakan peluang mereka untuk memintas Liverpool di puncak liga.
Arteta mengakui pasukannya yang berada di tempat ketiga bermain di bawah tahap terbaik mereka untuk tempoh yang panjang di Stadium Vitality.
“Pasukan sudah mencuba, berusaha dengan 10 pemain sangat hebat tetapi ia masih tidak mencukupi untuk memenangi perlawanan,” katanya.
Ryan Christie menjaringkan gol pertama Bournemouth minit ke-70 sebelum Justin Kluivert menambah gol kedua menerusi sepakan penalti minit ke-79.
© New Straits Times Press (M) Bhd



