London: Arsenal kembali mendahului Liga Perdana dengan harapan untuk terus kekal menguasai carta apabila mereka melayan kunjungan Wolves hujung minggu ini ketika juara bertahan Manchester City berdepan Tottenham.
Kemenangan terakhir Arsenal 1-0 di Brentford minggu lalu yang membawa mereka kembali ke tangga teratas adalah kemenangan kelima mereka di Liga Perdana dengan jaringan tunggal musim ini.
Aksi Gunners sedikit merudum pada kempen 2022/23 dengan jumlah jaringan yang menurun tetapi bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville percaya mereka kini lebih bersedia untuk memenangi liga.
“Permainan yang sempurna dan cantik. Tidak mungkin dapat memenangi liga melainkan ia digabungkan dengan keteguhan dan daya tahan,” katanya di X, yang dahulu dikenali sebagai Twitter.
“Arsenal lebih baik tahun ini dalam permainan mereka dan ia akan datang pada waktunya.”
Tetapi bekas pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher bersama Neville, percaya pasukan Mikel Arteta perlu memenangi perlawanan dengan lebih meyakinkan.
“Jika Arsenal meneruskan apa yang mereka lakukan ketika ini dan jika ini adalah Arsenal yang akan kita lihat musim ini, saya tidak fikir mereka boleh memenangi liga,” katanya kepada Sky.
Dia menambah: “Banyak perlawanan lagi dan kadangkala ia boleh menjadi sebaliknya. Perlawanan yang ditamatkan dengan 1-0 dengan mudah boleh menjadi 0-1.”
Arsenal membelasah Lens 6-0 dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu sebagai peringatan tentang perkara yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Sementara itu Tottenham perlu bangkit dari kejatuhan mereka selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut tetapi juara Manchester City adalah lawan mereka yang seterusnya.
Pasukan Ange Postecoglou, tidak tewas dalam 10 perlawanan pertama mereka namun mereka kini tewas kepada Chelsea, Wolves dan Aston Villa walaupun menjaringkan gol pertama dalam setiap perlawanan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




