Arsenal bersedia tambah pemain

Arsenal bersedia tambah pemain

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengesahkan kelab itu akan ‘aktif mencari’ pemain baharu bagi memperkuatkan skuad pada jendela perpindahan Januari.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu berdepan kemungkinan kehilangan sehingga empat pemain pertahanan menjelang pertembungan penting menentang Aston Villa di Stadium Emirates.

Jurrien Timber, Riccardo Calafiori, Ben White dan Cristhian Mosquera tidak diturunkan ketika Arsenal meraih kemenangan tipis ke atas Brighton, keputusan yang mengekalkan mereka dua mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City, di puncak liga.

Arsenal sebelum ini membelanjakan lebih £250 juta (RM1 bilion) untuk membawa masuk lapan pemain baharu pada jendela perpindahan musim panas, dan Arteta tidak menolak kemungkinan menambah kekuatan skuad bulan depan.

“Perpindahan memang ada dan kami adalah Arsenal. Kami perlu melihatnya, apa yang kami perlukan. Kami perlu aktif, sama ada dapat melakukannya atau tidak, itu cerita lain,” katanya, ketika kelab London utara itu memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.

Arteta menambah, persiapan rapi penting kerana perkara di luar jangkaan boleh berlaku.

“Apabila melihat kelab lain, mereka mempunyai 24 atau 25 pemain dalam skuad. Walaupun kami berdepan lebih banyak kecederaan daripada jangkaan, ada yang tidak dapat dielakkan, kami mahu menjadi lebih baik. Ketersediaan pemain adalah faktor sangat penting musim ini,” katanya.

Villa sebelum ini menamatkan rekod 11 perlawanan tanpa kalah Arsenal dalam liga dengan kemenangan 2-1 pada masa kecederaan, 6 Disember lalu.

Kelab Birmingham itu tiba di Emirates dengan momentum tinggi selepas mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut dalam semua pertandingan dan kemenangan di London akan menyaksikan mereka terikat mata dengan Arsenal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top