London: Pengurus Mikel Arteta menggesa pemain Arsenal bangkit segera dan membuktikan karakter sebenar mereka menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Sporting Lisbon.
Desakan itu hadir selepas The Gunners berdepan dua kekalahan mengecewakan berturut-turut termasuk tumbang 1-2 kepada Southampton dalam saingan Piala FA, selain tewas 0-2 kepada Manchester City dalam final Piala Liga.
Kekalahan itu sekali gus memusnahkan impian Arsenal untuk memburu empat trofi musim ini, selain mencetuskan keraguan dalam kalangan penyokong mengenai kemampuan pasukan menamatkan kemarau kejuaraan sejak 2020.
Namun Arteta kekal optimis anak buahnya mampu mengharungi tekanan dan kembali bangkit dalam tempoh getir musim ini.
“Dalam satu musim, pasti ada fasa sukar. Ini mungkin saat pertama kita berdepan cabaran seperti ini.
“Kalau ini dianggap sukar, masih banyak lagi detik lebih mencabar. Jadi kita perlu bangkit dan terus berikan apa yang sudah kita lakukan sepanjang musim,” katanya.
Arsenal kini masih berada dalam kedudukan kukuh dalam Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan sembilan mata di puncak liga, selain dilihat antara pasukan pilihan dalam saingan Eropah.
Arteta turut mempertahankan pemainnya sambil mengambil tanggungjawab penuh terhadap prestasi semasa pasukan.
“Saya sayangkan pemain saya. Apa yang mereka lakukan sepanjang sembilan bulan ini luar biasa. Saya tidak akan kritik mereka hanya kerana satu kekalahan.
“Saya akan terus mempertahankan mereka dan tanggungjawab itu di bahu saya,” katanya.
Bagaimanapun, Arsenal berdepan sedikit kebimbangan apabila beberapa tonggak utama seperti Declan Rice dan Bukayo Saka masih belum pasti cergas sepenuhnya, manakala Gabriel Magalhaes turut mengalami kecederaan.
Pemain tengah Christian Norgaard bagaimanapun menegaskan skuad itu perlu kekal positif dan tidak terlalu lama meratapi kekalahan.
“Sekarang bukan masa untuk tunduk terlalu lama. Kita perlu bangkit kerana banyak lagi perlawanan besar menanti,” katanya.
Arsenal kini berdepan ujian getir dalam misi memburu kejuaraan pertama UCL selain menamatkan penantian panjang trofi liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




