London: Sepanjang setengah abad, pada hari Boxing Day bagi Harry Redknapp banyak dihabiskan dengan cuba mengatasi pesaing bola sepak sama ada sebagai pemain atau pengurus, tetapi esok perhatian beliau akan tertumpu kepada satu lagi sasaran King George VI Chase di Kempton Park.
Pengendali berusia 78 tahun dari England itu yang membawa Portsmouth menjuarai Piala FA 2008 sudah mencatatkan kejayaan dalam sukan berkuda berhalangan sebagai pemilik kuda.
Namun, jika The Jukebox Man berjaya menewaskan tujuh lawannya dalam steeplechase yang dianggap kedua paling berprestij selepas Cheltenham Gold Cup, ia bakal menjadi kemenangan terbesar buatnya.
Dunia lumba kuda sudah sebati dalam hidup Redknapp sejak zaman kanak-kanak di London, neneknya, Maggie Brown, menjalankan pertaruhan untuk sebuah syarikat bookie yang pada waktu itu adalah haram.
Redknapp, yang lebih dikenali dengan West Ham kerana bermain selama tujuh tahun dan kemudiannya mengurus pasukan itu untuk tempoh sama, menonton kuda bintangnya berlatih di stables jurulatih Ben Pauling dan berkata neneknya pasti tidak menyangka beliau memiliki kuda sehebat itu.
“Ia sangat berbeza daripada East End London, ketika dia sering ditangkap dan dimasukkan ke dalam van polis kerana mengutip pertaruhan,” katanya kepada media yang hadir.
“Orang lupa, ketika itu tiada kedai pertaruhan, pertaruhan adalah haram sepenuhnya, jadi satu-satunya cara untuk membuat pertaruhan adalah melalui bookie haram.”
Redknapp, yang mula terbabit sebagai pemilik ketika mengurus Bournemouth pada 1980-an, berkata isterinya, Sandra, sering ketawa melihat telatah beliau.
“Seorang lelaki di TV berkata, ‘Harry Redknapp, dia terus membeli kuda dan tidak pernah beli yang buruk,’ dan Sandra tergelak tak terkawal di atas sofa,” kata Redknapp.
“Kami ada senarai panjang macam lengan, jadi bila dapat yang baik, kena nikmati sepenuhnya.”
‘Sedikit menghiburkan’ –
Redknapp sudah merasai kemenangan di Kempton bersama The Jukebox Man, tahun lalu dalam Grade One Kauto Star Novice Chase.
Bagaimanapun, enam daripada tujuh lawannya termasuk pemenang King George tahun lalu, Banbridge, dan naib juara Il Est Francais adalah bertaraf kelas atas.
“Ia macam masuk Liga Juara-Juara,” kata Redknapp, seketika kembali ke zaman bola sepak ketika pasukan Tottenham Hotspur yang memukau mencapai suku akhir kejohanan kelab Eropah 2010/11.
“Kamu lihat pasukan yang masih tinggal dan fikir, astaga, tapi kamu masih rasa ada peluang dan bermimpi boleh pergi hingga ke final dan menang.”
Mungkin dua lawan paling berbahaya kepada The Jukebox Man adalah daripada stables jurulatih Ireland tersohor, Willie Mullins, iaitu Gaelic Warrior dan Fact to File.
© New Straits Times Press (M) Bhd




