Arsenal longlai di laman sendiri

Arsenal longlai di laman sendiri

LONDON: Arsenal menerima tamparan besar dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas tewas 1-2 kepada Bournemouth di Stadium Emirates, hari ini.

Kekalahan itu menghidupkan semula peluang Manchester City untuk merapatkan jurang dalam saingan kejuaraan yang sebelum ini tampak memihak kepada skuad kendalian Mikel Arteta.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Junior Kroupi membuka jaringan seawal minit ke-17 hasil situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti.

Arsenal bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Viktor Gyokeres pada minit ke-35 selepas bola terkena tangan Ryan Christie.

Memasuki babak kedua, Arteta melakukan beberapa pertukaran berani termasuk memasukkan Eberechi Eze dan pemain muda Max Dowman bagi menambah sengat serangan.

Namun, usaha tersebut gagal membuahkan hasil apabila Bournemouth kembali di hadapan pada minit ke-74 menerusi penyudah tajam Alex Scott.

Gerakan gol itu bermula daripada hantaran David Brooks yang disambut baik sebelum disudahkan kemas Scott menewaskan penjaga gol David Raya.

Arsenal terus mengasak pada penghujung permainan namun ketumpulan jentera serangan jelas terserlah apabila hanya tiga percubaan tepat berjaya dihasilkan sepanjang perlawanan.

Kekalahan itu merupakan kekalahan kedua di laman sendiri musim ini sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap kemampuan Arsenal mengekalkan konsistensi sehingga penghujung musim.

Dengan enam perlawanan berbaki, Arsenal masih mendahului liga tetapi tekanan kini kembali memuncak apabila Manchester City berpeluang merapatkan jurang sekiranya mencatat kemenangan dalam aksi seterusnya. – AGENSI

Scroll to Top