London: Arsenal terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Crystal Palace 1-0 hasil jaringan pemain baharu mereka, Eberechi Eze, manakala Manchester City dikejutkan Aston Villa 1-0 di Villa Park.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Mikel Arteta kini empat mata di depan pencabar terdekat Bournemouth, yang turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest. Tottenham pula melonjak ke tangga ketiga selepas membelasah Everton 3-0.
Arsenal menikmati hujung minggu sempurna apabila dua seteru utama, City dan Liverpool, kedua-duanya kecundang sekali gus memberikan ruang buat The Gunners melangkah lebih yakin memburu kejuaraan pertama sejak 2004.
Eze, yang menyertai Arsenal dari Crystal Palace dengan nilai £60 juta pada Ogos lalu, menjadi wira apabila meledak gol tunggal perlawanan iaitu satu rembatan voli kencang selepas sepakan percuma Declan Rice gagal dikeluarkan kemas oleh pertahanan Palace pada minit ke-39.
“Teknik daripada Eze luar biasa. Kami perlukan sesuatu yang istimewa hari ini.
“Kami gagal tambah jaringan kedua, tapi kami kawal permainan dengan baik dan sekat peluang lawan,” kata Arteta.
Kemenangan itu juga mengekalkan rekod pertahanan kukuh Arsenal membabitkan 10 ‘clean sheet’ daripada 13 perlawanan semua kejohanan musim ini meskipun Arteta sedikit gusar selepas Rice dan William Saliba terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Sementara itu, di Birmingham, City pula terus kecundang selepas Matty Cash meledak gol menakjubkan dari luar kotak penalti minit ke-19 untuk memberikan Villa kemenangan keempat berturut-turut.
Kekalahan itu menamatkan rentetan 12 perlawanan berturut-turut Erling Haaland menjaringkan gol, selain memperlihatkan betapa bergantungnya City terhadap penyerang Norway itu seperti tiada pemain lain menjaringkan gol liga untuk City sepanjang sebulan lalu.
“Kami tidak cukup agresif,” akui Pep Guardiola kecewa, selepas City kini enam mata di belakang Arsenal dan jatuh ke tangga kelima liga.
Sementara itu, Tottenham kembali menemui rentak apabila kapten Micky van de Ven menjaringkan dua gol untuk menewaskan Everton 3-0 di Stadium Hill Dickinson. Gol lewat Pape Matar Sarr mengesahkan kemenangan selesa buat anak buah Thomas Frank.
Di pantai selatan, Bournemouth pula melonjak ke tangga kedua hasil jaringan Marcus Tavernier dari sepakan penjuru dan rembatan padu Eli Junior Kroupi sekali gus menenggelamkan harapan Nottingham Forest yang kekal di zon penyingkiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




