Leeds: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata, kemenangan 4-0 ke atas Leeds United membuktikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mampu mengharungi tekanan dalam perebutan kejuaraan.
Pasukan kendalian Arteta menamatkan kemarau tanpa kemenangan tiga perlawanan liga dengan aksi cemerlang di Elland Road, awal pagi tadi.
Arsenal mendahului pada separuh masa pertama menerusi tandukan Martin Zubimendi serta gol sendiri penjaga gol Leeds, Karl Darlow.
Dua lagi gol pada babak kedua oleh Viktor Gyokeres dan Gabriel Jesus mengesahkan kemenangan yang sangat diperlukan Arsenal, yang sebelum ini dilabel ‘choker’ selepas kelebihan mereka dalam perebutan gelaran semakin terhakis kebelakangan ini.
Dua keputusan seri tanpa jaringan menentang Liverpool dan Nottingham Forest, diikuti kekalahan di laman sendiri kepada Manchester United minggu lalu, meningkatkan tekanan ke atas kem Arsenal.
Penyokong Arsenal mula resah apabila kenangan kelebihan kejuaraan yang terlepas dalam beberapa musim terdahulu kembali menghantui era kendalian Arteta.
Namun, Arteta menegaskan pemainnya kekal positif walaupun dihimpit kritikan, dan mereka membalas kepercayaan itu dengan prestasi bertenaga.
“Kami sangat gembira. Ia satu persembahan dan keputusan yang sangat mengagumkan, lebih-lebih lagi dalam konteks apa yang kami hadapi.
“Kami tahu kesukaran perlawanan ini serta kualiti lawan, ditambah dengan prestasi semasa mereka, gaya permainan dan suasana stadium yang penuh tenaga.
“Selepas tiga keputusan liga yang tidak memihak kepada kami, kami benar-benar mahu menunjukkan betapa kami mahukan kemenangan ini. Dan saya rasa kami sudah menyampaikan mesej itu hari ini,” kata Arteta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




