Arsenal mampu raih trofi – Saliba

Arsenal mampu raih trofi – Saliba

London: William Saliba percaya Arsenal mampu melakukan perkara yang dianggap mustahil dengan memenangi empat trofi musim ini.

The Gunners kini berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL), serta melayakkan diri ke separuh akhir Piala Liga selepas menewaskan Crystal Palace melalui penalti di Stadium Emirates.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, hanya memenangi satu trofi utama sepanjang enam tahun pengurusan beliau iaitu Piala FA 2020, dan beliau kini berada di bawah tekanan untuk menambah koleksi trofi musim ini.

Dengan baki perlawanan menentang Brighton dan Aston Villa sebelum tamat tahun ini, yang hanya tiga mata di belakang liga, Arsenal akan menghadapi sembilan perlawanan pada Januari.

Apabila ditanya mengenai peluang menjuarai beberapa kejohanan pada musim ini, Saliba berkata: “Ya, sudah tentu, kerana kami tahu dalam setiap kejohanan yang kami sertai, kami mampu memenanginya.

“Kami pernah hampir dalam EPL selama tiga musim lalu, dan musim lepas kami berada di separuh akhir UCL dan Piala Liga, jadi kami tahu kami mampu menang semua kejohanan.

“Tetapi kami perlu buktikan di atas padang dan mula menjuarai trofi sekarang. Kami berada di separuh akhir Piala Liga, jadi tinggal tiga perlawanan lagi, dan kami perlu lakukan yang terbaik pada Januari menentang Chelsea. Ia akan menjadi perlawanan besar, derbi besar, jadi kami perlu teruskan. Kami tahu kami hampir dan perlu belajar daripada musim lepas.

“Di penghujung kerjaya, kami kira trofi yang dimenangi, dan Piala Liga adalah salah satunya, sekarang kami di separuh akhir dan sudah tentu mahu menjuarai kejohanan ini, seperti setiap kejohanan yang kami sertai.”

Arsenal menamatkan saingan sebagai naib juara dalam tiga musim liga terakhir, dan berpeluang menjadi tuan rumah kepada Brighton di Emirates esok, satu mata di belakang Manchester City jika pasukan Pep Guardiola menewaskan Nottingham Forest pada perlawanan tengah hari.

Begitupun laluan Arsenal tidak mudah dengan Saliba sedar perjalanan masih jauh.

“Suasana baik tetapi kami sedar ini masih Disember dan perkara boleh berubah dengan cepat dalam bola sepak.

“Kami perlu fokus, percaya pada diri sendiri, dan terus bekerja kerana yang penting adalah di penghujungnya apabila memegang trofi, bukan sebelumnya.

“Jika banyak perlawanan, itu bermakna kami melakukan kerja dengan baik, jadi kami perlu teruskan, dan diharap pemain yang cedera dapat kembali pada Januari untuk membantu kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top