London: Bekas pertahanan Perancis, Frank Leboeuf percaya Arsenal perlu segera mendapatkan pengganti William Saliba yang mengalami kecederaan, dengan menyifatkan rakan senegaranya, Maxence Lacroix sebagai calon sesuai.
Saliba sekali lagi menjadi tonggak utama di benteng Arsenal ketika membantu kelab itu muncul juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, selain turut menggalas tugas bersama skuad Perancis di Piala Dunia.
Bagaimanapun, pertahanan berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan belakang pada babak pertama aksi separuh akhir menentang Sepanyol apabila rebah tanpa sebarang sentuhan.
Menurut laporan, Saliba menjerit sambil memegang belakangnya sebelum dikeluarkan, dengan masalah itu sebenarnya sudah mengganggunya sepanjang kejohanan.
Pembedahan kini dilaporkan menjadi antara pilihan rawatan, manakala media Perancis menjangkakan Saliba mungkin terpaksa berehat selama empat hingga lima bulan.
Jika ramalan itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi tamparan besar buat Arsenal yang mahu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Walaupun Arsenal masih mempunyai beberapa pemain yang mampu mengisi posisi pertahanan tengah bersama Gabriel Magalhaes, Leboeuf berpendapat kelab itu perlu mendapatkan pemain baharu.
“Saliba ialah antara pertahanan tengah terbaik dunia ketika ini. Jika pemain sepertinya terpaksa berehat selama empat atau lima bulan, sudah tentu ia sesuatu yang membimbangkan.
“Arsenal membina kekuatan mereka menerusi sistem pertahanan yang kukuh. Itulah asas kepada corak permainan Mikel Arteta.
“Beraksi tanpa Saliba pada awal musim bukan sesuatu yang mudah. Saya fikir mereka perlu melakukan sesuatu.
“Sama ada mendapatkan pemain secara tetap atau pinjaman, mereka perlu mempunyai pelan sandaran kerana anda tidak boleh memulakan musim tanpa penyelesaian jika mahu bersaing merebut kejuaraan.
“Arsenal mungkin pasukan paling stabil dalam kalangan kelab-kelab besar ketika ini dan itu adalah kekuatan mereka. Namun jika Saliba tiada, kestabilan itu akan terus diuji,” katanya.
Arsenal dikatakan berminat mendapatkan pertahanan England dan Aston Villa, Ezri Konsa.
Bagaimanapun, Leboeuf percaya seorang lagi pemain yang boleh menarik minat Arteta ialah rakan sepasukan Saliba di Perancis, Maxence Lacroix.
Pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama Crystal Palace sejak menyertai kelab berkenaan daripada Wolfsburg pada 2024 dan difahamkan bersedia mencari cabaran baharu di luar London Tenggara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




