LONDON: Bos Arsenal, Mikel Arteta memberi bayangan bahawa The Gunners mungkin akan berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini bagi menamatkan penantian lima tahun untuk meraih trofi.
The Gunners dijangka akan melalui jendela perpindahan yang penting, dengan keutamaan utama Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta yang mahu membawa membawa masuk seorang penyerang.
Dua nama yang berada dalam radar kelab utara London itu adalah Viktor Gyokeres dari Sporting Lisbon dan Benjamin Sesko dari RB Leipzig.
Kedua-dua pemain dijangka akan menelan belanja lebih dari 60 juta pound (RM342 juta), ditambah pula dengan potensi ketibaan Martin Zubimendi dari Real Sociedad yang dilaporkan mempunyai klausa pelepasan sebanyak 51 juta pound (RM290 juta).
“Belanjawan ini seperti ketika anda merancang perkahwinan, anda rancang perkahwinan bersama isteri anda dan anda berikan satu bajet dan ia tidak pernah kurang, ia sentiasa lebih.
“Bila anda bina rumah pun, ia sentiasa lebih. Kebiasaannya begitulah yang berlaku. Anda bersedia untuk pelbagai kemungkinan. Kemudian perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.
“Terlalu banyak perkara yang boleh berlaku tetapi memang ada bajet. Sentiasa ada idea tentang apa yang kami boleh lakukan, apa yang kami boleh perbaiki, apa yang menjadi keutamaan dan kita akan lihat sama ada kita boleh melakukannya atau tidak,” katanya.
Berta, yang sebelum ini bersama Atletico Madrid, telah dilantik menggantikan Edu pada Mac lalu dan musim panas ini akan menjadi jendela perpindahan pertamanya bersama Arsenal.
“Kalau itu berlaku (perbezaan pendapat ketika membeli pemain), ia bermakna kami tak dapat jelaskan kehendak kami dengan cukup baik, dan kami tidak cukup jelas tentang apa yang kami mahukan. Saya jamin itu tidak berlaku.
“Ia tidak berlaku dalam lima setengah tahun bersama Edu, dan saya jamin perkara yang sama dengan Andrea,” katanya. – AGENSI




