London: Arsenal dan pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya serta merta selepas tiga musim bersama kelab itu.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai The Gunners dari Bologna pada Ogos 2021 dan telah membuat 84 penampilan dalam semua kejohanan.
Tomiyasu segera menyesuaikan diri di posisi bek kanan dan pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Bulanan kelab pada September 2021 serta sekali lagi pada Oktober 2023.
Karier profesionalnya bermula bersama Avispa Fukuoka dalam Liga J1 sebelum berhijrah ke kelab Belgium, Sint Truiden pada 2018 dan memenangi anugerah Pemain Terbaik Musim itu.
Dia kemudian berpindah ke Itali sebelum disambar Arsenal hasil prestasi konsisten di peringkat kelab dan antarabangsa.
Tomiyasu membuat 42 penampilan bersama skuad kebangsaan Jepun sejak 2018 termasuk dalam Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia 2022.
Pada masa sama, turut membantu Jepun mara ke suku akhir Piala Asia AFC pada Februari 2024.
Bagaimanapun, kecederaan berulang sejak dua musim lalu mengehadkan penampilannya dengan hanya satu kemunculan sebagai pemain gantian musim lalu.
Berdasarkan situasi semasa, kedua dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak bagi membolehkan Tomiyasu memulakan lembaran baharu dalam kariernya.
Pihak Arsenal merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangannya dan mendoakan kejayaan buat Tomiyasu serta keluarganya pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd