‘Arsengal’ jadi bahan jenaka, impian trofi terus dipersoal

‘Arsengal’ jadi bahan jenaka, impian trofi terus dipersoal
‘Arsengal’ jadi bahan jenaka, impian trofi terus dipersoal

Skuad kendalian Mikel Arteta hanya berpeluang meraih dua lagi trofi musim ini. Foto: Agensi

PENYINGKIRAN Arsenal di suku akhir Piala FA awal pagi tadi bukan sahaja memberi kesan di atas padang, malah turut mencetus gelombang sindiran dalam kalangan peminat bola sepak di Malaysia dengan gelaran ‘Arsengal’ menjadi bahan hiburan di media sosial.

Prestasi tidak konsisten skuad kendalian Mikel Arteta itu menyaksikan ramai netizen mempersoalkan keupayaan mereka untuk menamatkan musim dengan trofi, meskipun masih mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dan layak ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Arsenal tewas 1-2 kepada Southampton di Stadium St Mary’s, menyusul tidak lama selepas skuad kendalian Mikel Arteta tewas kepada Manchester City dalam final Piala Liga Inggeris, sekali gus menambah tekanan menjelang fasa penentuan musim.

Antara reaksi yang mencuri perhatian termasuk sindiran bahawa Arsenal sekadar pasukan kuat di awal musim, selain dakwaan mereka sekali lagi bakal tersungkur di saat-saat akhir seperti musim-musim lalu.

Tidak kurang juga yang menyindir mentaliti pemain, dengan ada yang menyatakan The Gunners tidak cukup karakter untuk jadi juara, terutama selepas gagal memanfaatkan peluang dalam perlawanan penting.

Gelaran ‘Arsengal’ pula digunakan secara sinis bagi menggambarkan prestasi pasukan yang dianggap mudah goyah apabila berdepan tekanan tinggi.

Namun, dalam nada berbeza, masih ada penyokong yang mempertahankan Arsenal dengan menyatakan pasukan itu kekal berada di landasan terbaik dalam EPL selain berpeluang mencipta kejutan di pentas Eropah.

Ketika musim menghampiri kemuncak, segala tumpuan kini terarah kepada bagaimana Arsenal bangkit daripada tekanan, sama ada mampu menutup mulut pengkritik atau sekali lagi mengundang ejekan.

 

 

Scroll to Top