Art of Speed 2026 Gegar MAEPS Ogos Ini, Festival SoundCircus Kembali Dengan 54 Pemuzik

Art of Speed 2026 Gegar MAEPS Ogos Ini, Festival SoundCircus Kembali Dengan 54 Pemuzik

Festival automotif dan budaya pop terkenal, Art of Speed 2026 (AOS 2026) bakal kembali untuk edisi ke-15 pada 1 dan 2 Ogos 2026 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) dengan pelbagai pameran, aktiviti serta persembahan muzik yang dijangka menarik ribuan pengunjung.

Acara yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga larut malam itu turut menyaksikan kemunculan semula Festival SoundCircus selepas dua tahun tidak dianjurkan. Festival muzik tersebut akan berlangsung di kawasan seluas empat ekar dengan enam pentas persembahan yang menampilkan gabungan artis dari Malaysia, Indonesia serta antarabangsa.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar berkata penganjuran kali ini menandakan evolusi festival yang semakin memberi impak kepada industri kreatif dan pelancongan negara.

“SoundCircus kembali ke MAEPS dengan skala yang lebih besar dan impak yang semakin berkembang terhadap industri kreatif serta pembangunan pelancongan Malaysia.

“Sejak diperkenalkan pada 2017, SoundCircus diwujudkan sebagai platform muzik yang menyokong artis mapan dan bakat baharu, khususnya dalam ekosistem muzik bebas dan bawah tanah tempatan,” katanya.

Menurut Asep, festival itu mula berkembang pesat sejak 2019 apabila dipindahkan ke lokasi luar di MAEPS dan berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung.

“Perkembangan itu menjadi titik penting dalam perjalanan festival ini dan menunjukkan pengaruhnya yang semakin meningkat dalam industri hiburan langsung di rantau ini,” katanya.

Bagi edisi 2026, SoundCircus turut memperkenalkan beberapa konsep persembahan khas termasuk “TAKHTA RATU NUSANTARA” yang menyatukan kumpulan rock Indonesia Cokelat bersama legenda muzik Malaysia Ella di satu pentas.

Selain itu, peminat turut bakal disajikan dengan konsep “LEGENDS X RENEGADES” yang menggabungkan dua generasi kumpulan rock menerusi kolaborasi Jemson dan Def Gab C, selain persembahan istimewa Hari Slatan, DIKIR KUSTOM oleh Issey dan The Clique serta POWER POP YEAH YEAH yang menampilkan Couple bersama Adnan Othman.

Turut diperkenalkan ialah konsep “30 Years of Asian Hardcore” bagi meraikan perkembangan muzik hardcore di rantau Asia.

Festival dua hari itu juga dijangka meriah dengan kehadiran 54 pemuzik yang akan membuat persembahan secara berperingkat. Antara nama yang diumumkan dalam fasa awal termasuk Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, The Jansen, Krusty, After Midnight, Iron Gaze dan Second Combat.

Barisan fasa kedua pula menampilkan gabungan artis dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun seperti Tenxi, Nadin Amizah, High Therapy, Straight Answer, Cokelat X Ella, Hari Slatan, Issey & The Clique, Couple X Adnan Othman, Jemson X Def Gab C dan Iqbal M.

Selain itu, festival turut dimeriahkan dengan persembahan oleh Moneybag, Empty Page, Tricks, Ya Bunayya, Jahvalion, Aimampus, Nemesys, Zafri Romai, Citykops, Overthrown dari Singapura serta beberapa DJ termasuk DJ Mekanik.

Asep berkata penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik, sekali gus membantu menjadikan Selangor sebagai hab acara kreatif dan pelancongan gaya hidup.

“Dengan sokongan Tourism Selangor, kami mahu menjadikan SoundCircus sebagai pengalaman muzik destinasi yang mampu meningkatkan profil Selangor sebagai pusat pelancongan kreatif di rantau ini,” katanya.

Pengunjung yang ingin menghadiri AOS 2026 boleh mendapatkan tiket masuk festival bermula RM35, manakala tiket SoundCircus ditawarkan antara RM89 hingga RM388 mengikut kategori.

Selain persembahan muzik, AOS 2026 turut menawarkan pelbagai pameran automotif, seni, fesyen serta aktiviti budaya pop yang dijangka menjadikan festival itu antara acara gaya hidup terbesar di Malaysia.

Scroll to Top