Arteta dah lakukan kesilapan awal

Arteta dah lakukan kesilapan awal

London: Mikel Arteta diberi amaran bahawa Arsenal sudah pun melakukan kesilapan pertama dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Jendela perpindahan rasmi dibuka pada 1 Jun bagi membolehkan kelab yang bakal bersaing dalam Piala Dunia Kelab membuat pembelian pemain sebelum kejohanan bermula.

Ia akan ditutup semula pada 10 Jun sebelum dibuka semula dari 16 Jun hingga 1 September untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arteta dan Arsenal berdepan jendela perpindahan penting selepas memasuki musim kelima berturut-turut tanpa sebarang trofi.

The Gunners gagal menyaingi juara EPL, Liverpool, apabila menamatkan musim di tempat kedua buat kali ketiga berturut-turut, selain tersingkir di separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) kepada juara, Paris Saint-Germain (PSG).

Arteta dilaporkan mahu membawa masuk beberapa pemain musim panas ini bagi memperkukuh skuadnya, bermula dengan penyerang dan pemain tengah baharu.

Martin Zubimendi dijangka menyertai Stadium Emirates menerusi perpindahan bernilai £51 juta (RM292.43 juta) dari Real Sociedad, namun usaha mencari penyerang utama masih berterusan.

Perbincangan diadakan berkenaan kemungkinan mendapatkan Viktor Gyokeres dan Benjamin Sesko, manakala Arsenal turut dikaitkan dengan Liam Delap sebelum penyerang Ipswich Town itu bersetuju menyertai Chelsea.

Disebabkan klausa pelepasan yang munasabah, Chelsea hanya perlu membayar £30 juta (RM172.02 juta) untuk membawa Delap ke Stamford Bridge dan Arsenal kini dikritik kerana gagal mendapatkan tandatangannya lebih awal.

“Saya langsung tidak faham bagaimana Arsenal tidak segera mendapatkannya,” kata bekas penyerang Liga Bola Sepak Inggeris (EFL), Adebayo Akinfenwa kepada talkSPORT.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top