Arteta gesa Arsenal bangkit selepas 'ditampar' Bournemouth

Arteta gesa Arsenal bangkit selepas 'ditampar' Bournemouth

London: Pengurus Arsenal FC, Mikel Arteta menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Bournemouth, hari ini sebagai ‘tamparan cukup hebat’ sambil menggesa pemainnya bangkit ketika cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka kini mula goyah.

Junior Kroupi meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit ke-17 sebelum Viktor Gyokeres menghidupkan semula Arsenal menerusi sepakan penalti dalam aksi yang agak sukar.

Namun Alex Scott kembali meletakkan Bournemouth di depan pada minit ke-74, dan Arsenal gagal mencari gol penyamaan sekali gus tewas di laman sendiri untuk kali kedua musim ini.

The Gunners masih mendahului sembilan mata di depan Manchester City di tempat kedua dengan enam perlawanan berbaki, namun skuad Pep Guardiola kini kembali dalam perebutan kejuaraan dengan dua perlawanan dalam tangan.

Kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu di Etihad minggu depan dalam perlawanan yang berpotensi menjadi penentu kejuaraan.

“Ini tamparan besar di muka, itu yang saya katakan kepada pemain. Sekarang kita perlu lihat bagaimana kita bertindak balas.

“Kami jauh daripada prestasi sebenar yang biasanya kami tunjukkan, terutama dalam beberapa bahagian kritikal apabila berdepan pasukan seperti Bournemouth yang sangat jelas dengan permainan mereka.”

“Namun saya tidak mahu mengkritik mana-mana pemain secara terbuka,” kata Arteta.

Arsenal yang beberapa minggu lalu berada di landasan untuk meraih ‘quadruple’ kini mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan domestik.

Mereka masih dianggap pilihan untuk memenangi kejuaraan liga pertama sejak 2004, walaupun sudah tiga musim berturut-turut menamatkan saingan di tempat kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top