Arteta kecewa Arsenal gagal dapatkan penyerang baharu

Arteta kecewa Arsenal gagal dapatkan penyerang baharu

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui kecewa apabila kelab itu gagal menandatangani penyerang baharu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup.

Arsenal gagal mendapatkan penyerang England, Ollie Watkins dari Aston Villa selepas bidaan mereka berjumlah £60 juta (RM331.05 juta) ditolak pada minggu lalu.

Berikutan tidak mampu memeterai rundingan baharu selepas gagal mendapatkan Watkins bermakna Gunners menamatkan jendela perpindahan Januari dengan persoalan mengenai jentera serangan yang semakin lemah berikutan kecederaan panjang menimpa Gabriel Jesus dan Bukayo Saka.

Arteta mengakui ketiadaan aktiviti perpindahan pemain itu jelas mengecewakannya.

“Kami berbincang secara terbuka mengenai hasrat meningkatkan skuad ini jika mempunyai kapasiti. Kami terkesan kerana beberapa pemain cedera, tetapi gagal mencapainya,” kata Arteta.

“Kami kecewa dalam aspek itu, tetapi sentiasa sedar betapa kami hanya mahu membawa masuk pemain tertentu sahaja.

“Kami tidak boleh melakukannya tanpa sebab dan perlu menerimanya. Ia adalah kombinasi beberapa perkara. Kami perlu berdisiplin mengenai perkara ini.”

Arsenal melalui jendela perpindahan kali ini tanpa bekas pengarah sukan, Edu, yang meletak jawatan pada November lalu selepas memainkan peranan penting dalam polisi perpindahan mereka sebelum ini.

Edu adalah sahabat baik kepada Arteta, tetapi pengendali dari Sepanyol itu menyatakan dia tidak mengadu mengenai proses mengambil pemain oleh Arsenal, sekalipun mereka gagal mendapatkan penyerang baharu.

Di sebalik berdepan masalah penyerang ketika ini, Arsenal tidak menampakkan kesan ketara apabila membelasah Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Penyerang Jerman, Kai Havertz dan pemain tengah menyerang remaja, Ethan Nwaneri menjaringkan gol ketika menentang City dan Arteta kekal yakin dengan pemain dimilikinya ketika ini.

“Mulai sekarang, tiada perbincangan mengenai perkara itu dan kami fokus untuk meningkatkan kumpulan pemain dimiliki ketika ini.

“Memang nampak apa yang pasukan ini sudah lakukan. Saya yakin sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top