Arteta lega raikan aksi ke-250 bersama Arsenal dengan kemenangan

Arteta lega raikan aksi ke-250 bersama Arsenal dengan kemenangan

London: Arsenal kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Nottingham Forest di Stadium Emirates..

Bukayo Saka dan kapten Martin Odegaard mempamerkan aksi cemerlang, memberi harapan baru kepada Gunners untuk mengejar gelaran liga.

Arsenal, yang gagal menang dalam empat perlawanan terakhir liga mereka, memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi.

Pada minit ke-15, Saka menjaringkan gol pembukaan hasil kerjasama menarik dengan Odegaard, sebelum melepaskan rembatan kemas yang menewaskan penjaga gol Forest, Matz Sels.

Walaupun Arsenal menguasai permainan, Sels, berjaya menghalang beberapa percubaan berbahaya untuk memastikan pasukannya kekal bersaing sehingga separuh masa pertama.

Selepas rehat, Thomas Partey yang masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua, menggandakan kedudukan dengan rembatan lencong cantik pada minit ke-52.

Penyerang muda Ethan Nwaneri melengkapkan malam gemilang Arsenal dengan gol ketiga pada lewat perlawanan.

Kemenangan ini mengekalkan Arsenal di tangga keempat dengan 22 mata daripada 12 perlawanan, enam mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, yang akan menentang Southampton hari ini.

Perlawanan ini juga menjadi detik istimewa buat Mikel Arteta, yang mengendalikan Arsenal buat kali ke-250.

Penampilan cemerlang Odegaard dan Saka memberi suntikan moral besar kepada pasukannya selepas tempoh sukar.

“Ada tenaga yang berbeza 48 jam sebelum perlawanan ini. Kami akhirnya dapat berlatih dengan skuad penuh, yang tidak berlaku selama beberapa minggu,” kata Arteta

Saka dan Odegaard, yang baru pulih daripada kecederaan, dikeluarkan lebih awal untuk memastikan mereka cergas bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Sporting Lisbon Rabu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top