Arteta mahu Arsenal terbaik di dunia

London: Mikel Arteta memberi amaran kepada pencabar Arsenal bahawa beliau mahu membentuk gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menjadi ‘kelab terbaik di dunia’.

Arsenal memulakan usaha mempertahankan kejuaraan EPL dengan menentang pasukan yang baru dinaikkan, Coventry dalam aksi pembukaan musim, Sabtu ini.

Buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun, The Gunners memulakan kempen sebagai pasukan pilihan utama England, status yang mahu dikekalkan Arteta dalam usaha membina era kegemilangan Arsenal.

Dengan zaman kegemilangan Manchester City berpotensi berakhir selepas Pep Guardiola meletak jawatan pada penghujung musim lalu, pentas kini terbuka buat Arsenal menikmati tempoh kejayaan berterusan.

Guardiola memenangi enam kejuaraan EPL dan Arteta, yang pernah bekerja di bawah pengendali Sepanyol itu di City sebelum mengambil alih Arsenal pada 2019, tidak gentar mencabar pemainnya untuk menyamai pencapaian terbabit.

“Ia sememangnya cita-cita kelab dan pemilik untuk menjadi kelab terbaik di dunia.

“Untuk mencapai perkara itu, anda memerlukan kemudahan terbaik, stadium terbaik, penyokong terbaik, selain skuad dan pemain terbaik dunia.

“Itulah yang kami cuba bina dengan pemain yang ada sekarang serta pemain yang mahu kami tandatangani bagi membawa perubahan kepada Arsenal,” katanya kepada Sky Sports.

Arsenal belum memenangi kejuaraan England secara berturut-turut sejak 1930-an, malah pencapaian itu juga gagal dilakukan oleh skuad ‘Invincibles’ kendalian Arsene Wenger yang menjadi juara terakhir kelab itu sebelum penantian mereka berakhir di bawah bimbingan Arteta.

Arteta menjadikan sasaran itu sebagai pembakar semangat pasukannya, manakala kekecewaan tewas kepada Paris Saint Germain menerusi penentuan penalti pada final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu turut meningkatkan keazaman pengendali itu.

“Ia sangat sukar. Anda perlu meningkatkan tahap dari setiap sudut.

“Apabila saya melihat mata pemain, saya nampak api, keinginan dan kemahuan untuk menjadi lebih baik setiap hari,” katanya.

Menjuarai UCL kali pertama kekal menjadi impian besar Arsenal, namun keutamaan Arteta adalah memastikan penguasaan domestik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top