Arteta pertahan keputusan Arsenal singkir Partey

Arteta pertahan keputusan Arsenal singkir Partey

Singapura: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempertahankan tindakan kelab itu berhubung penamatan kontrak Thomas Partey selepas pemain tengah antarabangsa Ghana itu ditahan atas dakwaan rogol dan serangan seksual.

Arsenal tidak menawarkan kontrak baharu kepada pemain berusia 32 tahun itu pada penghujung musim lalu dan beberapa hari kemudian dia didakwa oleh polis Britain atas lima pertuduhan rogol dan satu pertuduhan serangan seksual yang didakwa berlaku antara tahun 2021 dan 2022.

Partey dijadual hadir ke mahkamah majistret di London pada 5 Ogos.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 4 Julai iaitu hari Partey ditahan, Arsenal menyatakan: “Kontrak pemain itu sudah tamat pada 30 Jun. Oleh kerana prosiding undang-undang yang sedang berjalan, kelab tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai kes ini.”

Arteta ditanya mengenai sama ada dakwaan terhadap Partey menjadi faktor utama kelab tidak menyambung kontraknya semasa sesi pramusim Arsenal di Singapura.

Pengendali dari Sepanyol itu menyatakan bahawa beliau ‘100 peratus’ yakin Arsenal telah mengikut prosedur yang betul, sambil menambah: “Kelab telah memberikan penjelasan yang jelas dalam kenyataan mereka. Terdapat banyak isu perundangan yang rumit, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya.”

Partey menyertai Arsenal dari Atletico Madrid dengan yuran perpindahan sebanyak ÂŁ45 juta (RM256.8 juta) pada Oktober 2020.

Musim lalu, dia membuat 35 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menjaringkan empat gol, selain tampil 12 kali dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top