Arteta tidak mahu kehilangan Martinelli

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak mahu kehilangan mana-mana pemain ketika Al Hilal dilaporkan berminat mendapatkan pemain sayap Brazil, Gabriel Martinelli.

Martinelli tiada dalam skuad ketika menentang Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti dan Arteta sekali lagi tidak menyenaraikan pemain itu ketika berdepan Coventry City, Jumaat lalu.

Arteta melakukan dua perubahan terhadap kesebelasan utama yang diturunkan di Wembley apabila Declan Rice dan Bukayo Saka menggantikan Bruno Guimaraes serta Noni Madueke, namun Martinelli masih tidak mendapat tempat.

Penyerang Brazil itu antara beberapa pemain senior yang tidak disenaraikan dalam skuad hari perlawanan, bersama Gabriel Jesus, Fabio Vieira dan juga Reiss Nelson.

Tiada petunjuk Martinelli mengalami kecederaan, namun tindakan berpunca daripada peraturan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menetapkan setiap pasukan hanya boleh menyenaraikan 20 pemain pada hari perlawanan.

Peraturan itu jelas ditentang oleh Arteta dan jurulatih kelahiran Sepanyol itu mengakui tidak mahu kehilangan mana-mana pemain menjelang saat akhir perpindahan.

“Saya cuba meyakinkan EPL dan kelab supaya jumlah pemain yang boleh kami senaraikan ditambah, terutama pemain di luar padang kerana kami bermain semakin banyak perlawanan dan beban yang ditanggung sangat besar.

“Pemain sepatutnya diberikan peluang untuk berada di sini dan membantu pasukan kerana mungkin kualiti salah seorang daripada mereka diperlukan, tetapi kami tidak dapat menyediakan ruang untuk mereka.

“Ia sesuatu yang mengecewakan dan menjadi bahagian paling sukar dalam tugas ini. Namun, tiada apa yang boleh dilakukan mengenainya.

“Ia sekadar fakta bahawa kami boleh membawa 18 pemain luar padang dan kami percaya untuk perlawanan hari ini, pemain yang disenaraikan adalah pilihan yang diperlukan, terutama berdasarkan keadaan fizikal sesetengah pemain,” katanya.

Spekulasi mengenai masa depan Martinelli dijangka semakin hangat menjelang hari terakhir jendela perpindahan selepas The Athletic melaporkan kelab Liga Pro Saudi, Al Hilal sedang berunding dengan Arsenal untuk mendapatkan pemain itu. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top