London: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, menyuarakan keyakinan tinggi terhadap Viktor Gyokeres selepas penyerang Sweden itu mempamerkan kebangkitan meyakinkan dengan meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Sunderland, awal pagi tadi.
Kejayaan di Stadium Emirates itu menyaksikan The Gunners melebarkan jurang sembilan mata di puncak Liga Perdana Inggeris ketika memburu kejuaraan pertama sejak 22 tahun lalu.
Jaringan pembukaan Arsenal dihasilkan Martin Zubimendi menerusi rembatan padu sejurus sebelum rehat, sebelum Gyokeres memastikan kemenangan pada babak kedua.
Bekas bintang Sporting Lisbon itu menyempurnakan hantaran Kai Havertz untuk gol kedua, sebelum menyudahkan peluang mudah hasil umpanan Gabriel Martinelli pada masa kecederaan.
Gyokeres sebelum ini menerima kritikan kerana gagal mengekalkan sentuhan prolifiknya seperti ketika bersama Sporting, biarpun tiba di Arsenal dengan nilai perpindahan £64 juta. Namun, pemain berusia 27 tahun itu kini muncul penjaring terbanyak kelab dengan 13 gol dalam semua pertandingan, termasuk enam gol dalam lapan penampilan terakhir.
“Keyakinan adalah kata kunci. Apabila anda berasa yakin dan penting, ketika itulah anda boleh membawa permainan ke tahap tertinggi.
“Kami sentiasa berada di belakangnya untuk membantu dan menyokong. Dia memberikan tindak balas yang sangat baik dan kini berada dalam momentum terbaik,” kata Arteta.
Arteta turut mengakui tekanan besar yang datang bersama jersi Arsenal, namun percaya Gyokeres kini semakin selesa memikul tanggungjawab itu.
Manchester City berpeluang merapatkan jurang kepada enam mata jika menang ke atas Liverpool, namun cabaran getir menanti apabila mereka belum menang di Anfield dalam perlawanan liga di hadapan penyokong sejak 2003.
Arteta berkata tumpuannya kekal kepada pasukannya sendiri walaupun akan mengikuti pertembungan dua gergasi itu.
“Kami masih perlu memenangi banyak perlawanan untuk capai apa yang kami mahu. Saya akan nikmati makan malam malam ini, esok saya mula bersedia untuk Brentford kerana ia pasti sukar. Dalam masa sama, saya akan menonton satu perlawanan besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




