Artis kena cakna pasal kewangan

Artis kena cakna pasal kewangan

PETALING JAYA: Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim menyarankan penggiat seni agar cakna hal ehwal kewangan lebih-lebih lagi membabitkan urusan keluar masuk wang.

Katanya, tindakan itu penting untuk menyelamatkan artis dimanipulasi dan menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita selalu dengar pasal kes seleweng duit membabitkan pihak pengurusan. Perkara ini bukan sahaja menimpa artis tempatan malah antarabangsa.

“Artis kena cakna pasal kewangan. Kalau mahu berjaya, hal tentang keluar masuk duit ini kita kena maklum.

“Jangan serahkan perkara ini ‘bulat-bulat’ kepada pihak lain sebab duit boleh buat orang gelap mata,” katanya.

Norman mengulas tentang isu artis dimanipulasi dan ditipu pengurus sehingga kerugian ribuan ringgit.

Dalam masa yang sama, Norman juga menggalakkan penggiat seni memanfaatkan teknologi terkini untuk memantau perbelanjaan mereka.

“Perkara paling asas yang kita kena selalu semak adalah penyata keluar masuk wang dan rekod perbelanjaan.

“Hal ini mudah, ibarat uruskan perbelanjaan harian kita. Beli keperluan hidup, bayar sewa rumah atau kereta dan sebagainya. Bermula dari itu.

“Sekarang ini lebih mudah dengan bantuan teknologi,” kongsinya.-UTUSAN

Scroll to Top