Arvid De Kleijn juara peringkat keempat LTdL dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada Rabu.
PELUMBA Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn muncul juara peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km) pada Rabu.
Selepas gagal menyerlah pada peringkat ketiga di Cameron Highlands pada Selasa, pakar pecut itu tampil dengan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa dua jam 53 minit 37 saat (s).
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu mengatasi cabaran yang diberikan pasukan JCL UKYO, Matteo Malucelli di tempat kedua manakala pelumba pasukan Polti Kometa, Manuel Penalver ketiga.
De Kleijn berkata, dia terpaksa berusaha keras terutama di zon pendakian selain ada beberapa pelumba melakukan ‘breakaway’.
“Agak sukar juga hari ini buat pelumba pecut kerana ada pendakian (KOM 1 GAP) namun semua pelumba (kumpulan pengejar) melakukan tugas dengan baik menangkap kumpulan breakaway dan saya hanya fokus melakukan pecutan.
“Ia adalah kemenangan yang baik buat saya selepas dua peringkat awal. Ia satu pengajaran berguna terutama dalam pecutan laju.
“Banyak lagi perlu saya buru dan bersedia untuk melakukannya selepas ini,” katanya selepas perlumbaan.
Bagaimanapun, jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan kekal menjadi milik pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole (12:57:35s) selepas menawan Cameron Highlands, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:06s).
Malucelli pula masih mempertahankan jersi jingga selaku Raja Pecut dengan mengumpul 34 mata, diikuti De Kleijn (30 mata) dan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (26 mata).
Sementara itu, pelumba Burgos – BH, Mario Aparicio yang menawan zon pendakian Kat 1 di GAP, berjaya merampas jersi polka dot daripada Poole selepas mengumpul 20 mata.
Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan jersi putih (Terbaik Asia) dengan masa keseluruhan 12:59:44s, meninggalkan rakan sepasukan, Yuma Koishi (2:41s) dan ketiga diisi pelumba Aisan Racing Team, Keigo Kusaba (2:45s).
Perlumbaan peringkat kelima akan berlangsung dari ibu negara, Kuala Lumpur ke Melaka dengan jarak perlumbaan sejauh 167.3km.