am@hmetro.com.my
Besut: “Terkesan, sangat-sangat terpukul, rasa macam tidak percaya Amni sudah tiada”.
Begitu luahan rakan serumah Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, antara 15 mangsa yang maut dalam nahas membabitkan bas membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam.
Malah pemergian arwah yang lebih mesra dengan Amni bukan sahaja dirasai rakan serumah sebaliknya pemergian wanita itu tiba-tiba cukup dirasai seluruh warga universiti berkenaan.
Allahyarham Nik Amni Nadiah, anak bongsu daripada tiga beradik dianggap seorang yang tegas, berdisiplin tinggi, bertanggungjawab dan amanah dengan tugasan yang diberikan serta mudah mesra menjadikan arwah sangat dikenali.
Nur Majidah Mohamad Noor, 21, dari Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus, berkata, dia tidak menyangka pertemuan dengan arwah yang tidak sabar untuk balik ke kampung bagaikan petanda dia mahu meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
“Dia beritahu tidak sabar untuk bertemu keluarga dan mahu pulang awal, dia balik seminggu lebih awal daripada rakan lain.
“Kami tinggal serumah… Amni, Adela dan seorang lagi rakan yang kini kritikal di zon merah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh tinggal sebilik dan ketiga-tiga mereka pulang awal.
“Arwah juga menempah tiket balik kampung awal kerana tidak sabar untuk bertemu keluarga,” katanya.
Seorang lagi rakan arwah, Nur Dina Iman A Ssaari, 21, berkata, dia tidak sempat bertemu pada hari arwah pulang ke kampung kerana Amni ada kelas.
Katanya, arwah seorang yang cerdik dan penerima anugerah dekan untuk semester satu.
“Kami pulang ke UPSI pada malam yang sama tetapi berlainan bas. Saya naik bas dari Kuala Terengganu dan ke Ipoh melalui Genting Highlands.
“Kami mendapat tahu berita kemalangan itu pada pagi hari kejadian,” katanya.
Seorang lagi rakan serumah arwah, Nuur Shahadatina Aula Abd Rahman, 21, berkata, arwah seorang yang telus dalam melakukan apa sahaja tugasan dan tanggungjawab serta amanah dengan setiap tugasan yang diberikan.
Menurutnya, pemergiannya sangat terkesan dan rasa macam tidak percaya dengan apa yang berlaku.
“Bila dapat tahu dia pergi kita confirmkan (sahkan) banyak kali, betul ke, sahih ke, memang tak sangka Amni akan pergi dulu.
“Bukan sahaja kita orang, malah seluruh warga UPSI terkesan sebab Amni sangat dikenali dengan sikapnya yang tegas, peramah, dan disenangi siapa sahaja.
“Dia juga suka bertanya apa yang dia tidak tahu rajin membantu kawan-kawan,” katanya yang berasal dari Simpang Lima, Sabak Bernam, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd